Piala Malaysia Berita

Piala Malaysia: Empat perlawanan tanpa mata, Selangor sah tersingkir

Selangor menjadi pasukan pertama yang disahkan tersingkir dalam saingan Piala Malaysia 2018 berikutan kekalahan 2-1 di tangan Sabah semalam.

Lebih memeritkan, Selangor juga mencatatkan kekalahan dalam 4 perlawanan berturut-turut menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang tidak mengutip sebarang mata dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Pada perlawanan malam tadi, Selangor dan Sabah terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama. Memasuki babak kedua, pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi Hector Omar Lebron pada minit ke-52.

Selangor yang diperkuatkan dengan Syahmi Safari, Ilham Udin dan Evan Dimas cuba menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan. Namun kegagalan mereka menyudahkan beberapa peluang menyaksikan jaringan tidak berubah.

Sebaliknya, Paunovic menambahkan kedukaan Juara 33 kali Piala Malaysia untuk meletakkan Sabah 2-0 mendahului Selangor pada minit ke-86.

Asakan mereka untuk mengejar Sabah berjaya disempurnakan oleh Rufino Segovia menerusi sepakan penalti pada minit-minit akhir permainan namun semuanya telah terlambat kerana peluang mereka untuk mara ke peringkat suku akhir telah tertutup.