Malaysia Berita

Matyo, Mahali Jasuli dan Khairul Fahmi perkuatkan Harimau Malaya

Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengembalikan nostalgia apabila memanggil barisan pemain yang pernah menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli dan Khairul Fahmi Che Mat untuk memperkuatkan Harimau menjelang pertemuan menentang Taiwan dan Kemboja bulan depan.

Khairul Fahmi dan Mahali sudah pun menjadi pilihan utama Cheng Hoe sejak perlawanan menentang Bhutan dan Fiji beberapa bulan lepas tetapi ini kali pertama Matyo kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan bersama jurulatih baharu.

Selain Khairul Fahmi, dua lagi tempat untuk penjaga gol diisi Farizal Marlias dan Hafizul Hakim meskipun Cheng Hoe berpeluang untuk memanggil penjaga gol B-23 iaitu Haziq Nadzli dan Ifwat Akmal Che Kassim.

Dari segi pertahanan pula, dua pemain B-23 dipanggil iaitu Adam Nor Azlin dan Syazwan Andik.

Rizal yang cukup konsisten dijangka terus mengekalkan posisi pertahanan kanan selain dari Amirul Azhan Aznan yang akan menjadi penggantinya.

Di bahagian kiri Syazwan Andik berkemungkinan akan menjadi pilihan utama Cheng Hoe selepas menunjukkan aksi yang memberangsangkan di Sukan Asia namun kedudukannya akan dicabar oleh Fazly Mazlan.

Shahrul Saad yang menjadi pilihan utama Cheng Hoe semasa Bhutan dan Fiji dijangka terus mengepalai jentera pertahanan tengah, dibantu oleh Adam Nor Azlin dan seorang pemain pertahanan dari Sabah iaitu Rawilson Batuil.

Irfan Zakaria yang bermain di bahagian pertahanan ketika beraksi bersama pasukan B-23 di Sukan Asia berkemungkinan akan mengisi posisi tengah, sama seperti kedudukannya ketika beraksi untuk Kuala Lumpur.

Kedudukan Irfan bagaimanapun akan dicabar oleh Nasir Basharudin dan Akram Mahinan.

Di bahagian posisi tengah kreatif pula pilihan Cheng Hoe cukup ramai seperti Nazmi Faiz Mansor, Nik Akif Syahiran dan Syahmi Safari.

Bahagian sayap kanan berkemungkinan akan diisi sama ada Safawi Rasid atau Zaquan Adha manakala di bahagian kiri akan diisi Syazwan Zainon atau Akhyar Rashid.

Posisi penyerang antara posisi yang paling kritikal, Syafiq Ahmad sudah membuktikan kemampuannya di Sukan Asia namun Matyo juga sudah beraksi dengan cemerlang bersama Pahang malah Shahrel Fikri yang bermain di liga Thailand pasti mahu membuktikan pengalamannya di luar negara akan membantu pasukan negara beraksi dengan lebih baik.

Cheng Hoe mempunyai tugas berat untuk memastikan pasukan kebangsaan mencatatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan antarabangsa dan memperbaiki ranking negara yang berada pada kedudukan 171 ketika ini.