Malaysia Berita

Meskipun FAM beri lampu hijau, Mohamadou Sumareh tidak dipanggil untuk pasukan kebangsaan

Meskipun selepas berbulan-bulan media dan para peminat bola sepak tanah air melobi FAM supaya Mohamadou Sumareh dipilih untuk menyertai pasukan kebangsaan, jurulatihnya, Tan Cheng Hoe nampaknya belum bersedia untuk memanggil pemain naturalisasi itu.

Sumareh akan terlepas untuk beraksi menentang Taiwan pada 7 September dan Kemboja pada 10 September ini.

Biarpun melakukan lapan pertukaran daripada barisan pemain sebelum ini, nama Sumareh tiada dalam senarai pemilihan pemain.

Baddrol Bakhtiar yang beraksi cemerlang di Sukan Asia juga tiada dalam senarai.

Lapan pemain baharu yang dipanggil Cheng Hoe adalah Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Syahmi Safari, Shahrel Fikri, Fazly Mazlan, Norshahrul Idlan Talaha, Faizal Marlias dan Mahali Jasuli.

Lapan pemain itu akan mengisi kekosongan Ifwat Akmal Chek Kassim, Syawal Nordin, Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj, Danial Ashraf Abdullah, Shafiq Shaharudin, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Syahrul Azwari Ibrahim.

Namun ketiadaan Sumareh sedikit sebanyak mengecewakan banyak pihak dan akan menjejaskan keyakinan penyokong terhadap FAM yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengambil pemain naturalisasi.

Cheng Hoe bagaimanapun tetap yakin dengan gandingan pemain muda dan senior untuk aksi persahabatan ketika berdepan Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September depan.

“Persembahan baik skuad B-23 di Sukan Asia termasuk berjaya menewaskan Korea Selatan menunjukkan petanda positif buat pasukan Harimau Malaya.

“Jadi, dengan kehadiran beberapa pemain muda untuk digandingkan bersama senior saya yakin mereka mampu membentuk skuad Harimau Malaya yang lebih mantap,” katanya.

Selain berdepan Taiwan dan Kemboja, Harimau Malaya juga akan mengharungi tiga aksi persahabatan berdepan Sri Lanka, Kyrgyzstan dan Maldives pada Oktober dan November nanti.

Semua aksi persahabatan itu diadakan sebagai persiapan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2018 yang akan berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.