Malaysia AFC U23 Championship

Kalah bidaan, Malaysia hilang kelayakan automatik AFC Bawah-23 2020

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah memilih Thailand sebagai tuan rumah bagi pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah-23 pada tahun 2020 nanti.

“Kita baru tahu hari ini AFC membuat keputusan untuk memilih Thailand sebagai tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC B-23. Kita kalah bidaan dan saya sudah maklumkan kepada Datuk Ong Kim Swee supaya memberikan laporan Sukan Asia baru-baru ini untuk kita membuat persiapan.”

Sehubungan itu, Datuk Ong Kim Swee terpaksa mengharungi pusingan kelayakan pada Mac tahun hadapan untuk mara ke pusingan akhir yang bakal berlangsung pada Januari 2020 dimana ia juga merupakan kelayakan untuk ke temasya Sukan Olimpik 2020.

“Kita tahu sebahagian besar pemain seperti Akhyar (Rashid), Safawi (Rasid) dan Haziq (Nadzli) masih boleh bermain untuk kelayakan AFC pada tahun depan.”

Presiden FAM mahukan persiapan rapi dilakukan bermula sekarang untuk membolehkan skuad Harimau Muda melangkah ke pusingan akhir tersebut.

Beliau juga mahu berjumpa dengan semua presiden persatuan negeri dan kelab untuk mendapatkan maklum balas berkenaan pelepasan pemain.

Ini bagi memastikan masalah yang berlaku pada temasya Sukan Asia 2018 Jakarta – Palembang tidak lagi berulang apabila beberapa pemain utama tidak dilepaskan oleh persatuan atau kelab.

“Jurulatih dan FAM kena bijak susun perancangan. Saya akan berjumpa dengan semua presiden negeri dan kelab pada November untuk mendapatkan maklum balas. Kita akan kaji dari segi peraturan apabila mereka menjadi ahli gabungan, mereka perlu mematuhi (arahan).”

“Tapi saya juga prihatin terhadap kepentingan mereka yang memerlukan pemain ini. Mereka yang melahirkan pemain skuad kebangsaan jadi mesti ada situasi menang-menang,” jelas Datuk Hamidin lagi.

Untuk rekod, skuad Harimau Muda berjaya mencipta sejarah mara ke peringkat suku akhir pada Kejohanan AFC B23 yang lalu sebelum dikecewakan oleh Korea 2-1.