Berita Asia

Ong Kim Swee bawa Aidil, Baddrol, Rizal ke Sukan Asia

Jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan Aidil Zafuan Abd. Radzak, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali untuk memenuhi kuota pemain lebih umur bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 14 Ogos hingga 1 September ini.

Katanya, keupayaan Baddrol, Aidil dan Rizal beraksi di pentas antarabangsa meyakinkan beliau untuk menyenaraikan tiga pemain senior tersebut.

“Saya melihat Baddrol sebagai seorang pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di banyak posisi, Aidil pula kepimpinan dan pengalamannya diperlukan bagi mengemudi barisan pertahanan manakala Rizal boleh beraksi di pertahanan kanan dan sayap kanan serta juga merupakan pemain yang berpengalaman.

“Senarai 24 pemain yang saya pilih adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dalam Liga Super dan Liga Perdana, selain penilaian ketika kem latihan skuad B-23 kebangsaan sebelum ini serta prestasi pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seramai 17 pemain yang membawa Malaysia mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China pada Januari lalu dikekalkan untuk temasya kali ini.

Sementara itu, empat pemain baharu diserap masuk iaitu Syafiq Ahmad, Faisal Abdul Halim, Rodney Celvin Akwensivie dan Khatul Anuar Md. Jalil.

Skuad B-23 dijadualkan ke Changzhou, China pada 2 Ogos bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan China B-23 pada 5 Ogos.

Mereka kemudiannya akan meneruskan kem latihan di Wisma FAM dan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi B-23 di Kuala Lumpur pada 9 Ogos sebelum terbang ke Indonesia pada 12 Ogos bagi mengharungi perlawanan pembukaan pada 14 Ogos.