Luar Negara

Mbappe adalah makhluk asing-Raphael Varane

Pemain pertahanan Perancis, Raphael Varane, menyifatkan Kylian Mbappe sebagai makhluk asing yang muda selepas penyerang Paris Saint-Germain itu membantu Les Bleus menjuarai Piala Dunia 2018.

Apabila ditanya mengenai pengalaman beraksi bersama Mbappe, Varane berjenaka apabila mengatakan Mbappe bukan berasal dari bumi tetapi dari planet lain.

“Saya mengenali beberapa makhluk asing tetapi saya rasa ini kali pertama saya menemui yang muda.

“Kebiasaannya saya menemui mereka pada usia 25 atau 30 tahun. Ketika Piala Dunia, saya terjumpa makhluk asing berumur 20 tahun.

“Bersama Mbappe, segalanya menjadi pantas. Apabila saya bercakap tentang taktikal dengannya sebelum perlawanan, saya tidak sempat menamatkan perbualan tetapi beliau sudah memahaminya dan melakukan apa yang saya katakan,” katanya.

Mbappe memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik FIFA selepas menjaringkan empat gol, termasuk satu jaringan ketika membenam Croatia 4-2 di final.

Piala Dunia juga membolehkan Varane menggunakan peluang untuk membuktikan keupayaannya di pentas dunia.

“Sejak berusia tujuh tahun, mereka sering mengatakan saya terlalu baik tetapi saya bukan begitu.

“Anda tidak boleh memiliki karier yang saya lalui, kekal di Real Madrid selama tujuh musim tanpa sebarang perwatakan.

“Kadangkala, saya diminta beraksi seperti Sergio Ramos atau pemain lain, bermain lebih agresif dan sebagainya.

“Saya memiliki corak permainan tersendiri tetapi ia belum selesai. Apabila orang ramai mahu saya mengubahnya, ia menjengkelkan,” katanya.