Eropah

Barcelona mahu tukar Dembele dengan Hazard?

Barcelona dilaporkan akan menawarkan pemainnya, Ousmane Dembele kepada Chelsea bagi mendapatkan khidmat pemain terkemuka dunia, Eden Hazard.

Ini memandangkan Hazard sudah pun meluahkan hasratnya untuk meninggalkan Stamford Bridge pada musim panas ini dengan Real Madrid sebagai destinasi pilihannya.

Kelab gergasi Sepanyol itu dilaporkan telah mengadakan rundingan dengan wakil Hazard.

Hazard masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun di Stamford Bridge.

Namun menurut stesen radio Sepanyol Onda Cero, Barcelona sedang berusaha memujuk Chelsea untuk melepaskan Hazard dengan menawarkan Dembele sebagai ganti.

Barcelona menandatangani kontrak dengan Dembele dari Borussia Dortmund pada musim panas lalu dengan bidaan 96.8 juta pound sterling.

Namun nilai itu dijangka meningkat kepada 135.5 juta pound sterling.

Dembele kini sedang bercuti selepas membantu Perancis menjulang trofi Piala Dunia.

Awal minggu ini, terdapat laporan mendakwa Hazard sudah bersetuju secara lisan dengan Madrid dan hanya perlu berunding mengenai yuran perpindahan dengan Chelsea.

Namun, Chelsea dilaporkan akan menghalang Hazard daripada meninggalkan Stamford Bridge kerana penjaga gol utamanya, Thibaut Courtois turut dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid.

Jurulatih baru Chelsea, Maurizio Sarri pula mahu mengekalkan Eden Hazard dan tidak sabar untuk bekerjasama dengannya di Chelsea walaupun bintang Belgium itu dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Stamford Bridge.

Sarri turut membandingkan Hazard dengan pemain Napoli, Dries Mertens, yang beraksi cemerlang di bawah kendaliannya dalam tiga musim terakhir.

“Hazard adalah pemain berkualiti tinggi dan saya rasa dia dalam kelompok tiga pemain terbaik Eropah.

“Saya harap dapat membimbing dan meningkatkannya. Ia sangat sukar memandangkan dia telah mencapai tahap yang tinggi.

“Ia juga berbeza dengan Mertens. Mertens sentiasa menjadi penyerang yang baik. Semua orang rasa bahawa dia sudah mencapai tahap tertinggi.

“Namun, kita sedang bercakap tentang dua orang pemain yang hebat. Mertens bermula dari bawah. Saya harap dapat meningkatkan Hazard tetapi ia sukar.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan penghijrahan keluar beberapa pemain elit dalam pasukan, Sarri menegaskan perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya mahu mengekalkan mereka.

“Berhubung melalui telefon dan tidak menemui mereka tidak memberikan saya kepastian. Saya mahu menemui mereka secara berdepan dan bercakap dengan barisan pemain ini, memahami apa yang terbaik untuk semua orang.

“Saya lebih suka jika seseorang pemain itu berada dalam sesi latihan selama empat atau lima hari,” katanya.