Luar Negara Eropah

Dapat bonus Piala Dunia, Mbappe dermakannya kepada persatuan kanak-kanak

Bintang muda Perancis, Kylian Mbappe ternyata bukan sahaja seorang pemain yang hebat di atas padang malah juga seorang yang budiman dan penyayang.

Ini dibuktikan apabila beliau sanggup menderma wang bonus kemenangan Perancis berjumlah 300,000 euro yang diperoleh setiap pemain negara jika muncul juara Piala Dunia 2018.

Penyerang berusia 19 tahun itu yang berjaya menjaringkan empat gol termasuk satu pada aksi final menyerahkan wang tersebut kepada sebuah persatuan berkaitan keperluan perubatan untuk kanak-kanak.

Malah, Mbappe dikatakan sudah berniat lebih awal membuat keputusan untuk menderma itu jika Perancis berjaya mara ke suku akhir lagi.

Semasa kejohanan, Mbappe mendapat kira-kira $22,300 USD setiap perlawanan ditambah bonus yang dilaporkan $350,000 USD jika memenangi final menentang Croatia.

Dengan jumlah sehingga $500,000 USD, Mbappe akan mendermakan wang itu kepada Premiers de Cordée, sebuah persatuan amal yang menyediakan aktiviti sukan percuma kepada kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak yang dirawat di hospital.

Mbappe yang menandatangani kontrak bersama Paris Saint-Germain pada Ogos 2017 menerima gaji sebanyak $1.7 juta USD sebulan.

“Kylian, dia orang yang hebat,” kata pengurus besar Premiers de Cordee, Sebastien Ruffin.

“Apabila beliau mempunyai masa, beliau akan datang mengganggu kami dengan keseronokan.

“Beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan kanak-kanak di sini, beliau selalu mencari perkataan yang tepat untuk menggalakkan mereka. Saya kadang-kadang merasakan bahawa beliau lebih suka bermain bersama dengan kanak-kanak itu daripada mereka bersendirian,” katanya.