Liga Super Malaysia Berita

Hentikan isu pindaan perlawanan-Kevin Ramalingam

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam meminta semua pihak supaya tidak memperbesarkan isu pindaan jadual Liga Super melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Katanya, keputusan yang diambil adalah hasil persetujuan semua pasukan yang terbabit dalam pindaan jadual itu.

“Kita perlu ingat pindaan yang berkaitan pasukan lain dalam liga dan tiada kaitan langsung dengan JDT pun pernah dibuat sebelum ini.

“Misalnya, perlawanan Liga Perdana antara FELDA United dan PDRM pada Isnin ini juga ditukar kepada Sabtu supaya FELDA United boleh meraikan kejuaraan bersama penyokong mereka.

“Jadi bagi saya, ini satu perkara yang sengaja dibesar-besarkan bila ia berkaitan dengan JDT,” katanya kepada Berita Harian.

Isu berkenaan timbul selepas MFL mengubah jadual perlawanan antara JDT dan Kelantan yang sepatutnya berlangsung semalam namun dipinda ke Jumaat ini bagi memberi ruang untuk para penyokong JDT menyambut kejayaan bersama pasukan kesayangan mereka di Larkin.

Pindaan jadual itu diputuskan Khamis lalu dan keputusan berkenaan turut membabitkan perubahan tarikh perlawanan akan datang bagi beberapa pasukan lain termasuk Kelantan, Selangor, Perak, PKNP FC, Terengganu dan Pahang.

Keputusan itu mendapat sokongan daripada jurulatih enam pasukan tersebut namun isu berkenaan tetap dipertikai segelintir pihak dengan menganggap ia satu keputusan yang lebih mengutamakan JDT.

Justeru, Kevin menegaskan keputusan yang diambil tidak berunsur berat sebelah kerana pasukan lain juga akan mendapat layanan sama jika berada di tempat JDT.

“Kita sudah jelaskan, ada proses tertentu sebelum pinda jadual. Tiada pihak walaupun saya sendiri atau TMJ yang boleh buat keputusan pindaan.

“Proses pertama adalah persetujuan daripada semua pasukan terbabit dan keputusan kolektif daripada lembaga pengarah.

“Malah, pasukan yang membuat permohonan untuk meminda jadual tidak boleh mengundi dalam mendapat keputusan permohonan mereka,” katanya.