Liga Super Malaysia Berita

Lupakan sahaja Liga Super-penyokong Negeri Sembilan

Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun meluahkan rasa kecewanya terhadap prestasi Negeri Sembilan sepanjang musim ini dan sudah pun berputus asa untuk melihat pasukan kesayangannya kekal beraksi di Liga Super musim depan.

Katanya, walaupun jadual liga masih berbaki tiga perlawanan, namun beliau tidak nampak hasrat untuk kekal dapat direalisasikan.

“Kekalahan terbaru Negeri Sembilan kepada PKNP Sabtu lalu mungkin menutup terus peluang pasukan untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

“Saingan liga hampir berakhir dan dengan hanya berbaki tiga perlawanan, agak mustahil buat Negeri Sembilan untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan tersebut.

“Malah, Negeri Sembilan juga terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain terutamanya yang hampir dari segi kutipan mata dan peluang itu dilihat sesuatu yang mustahil untuk kekal dalam Liga Super musim depan,” katanya kepada Berita Harian.

Tambahnya, majoriti penyokong berasa kecewa dengan corak persembahan yang dipamerkan anak buah Mario Lemos pada aksi menentang PKNP apabila mereka gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Menurutnya, pemain dilihat mensia-siakan peluang malah persembahan mereka tidak banyak berubah dan seperti hilang rentak apabila tiada serangan mantap yang dapat dipamerkan.

“Walaupun Negeri Sembilan dilihat cuba mengimbangi kekuatan pemain PKNP, tetapi tiada serangan yang lebih berkesan dapat dilakukan ke kawasan kubu lawan sepanjang perlawanan dan kesilapan bahagian pertahanan menyebabkan mereka dihukum.

“Biarpun peluang sudah tertutup tetapi pemain perlu tunjukkan komitmen tinggi kepada pasukan dengan memastikan kemenangan dicapai pada baki tiga perlawanan itu,” katanya.