Luar Negara Eropah

Pemain seusia saya biasanya akan pergi Qatar atau China-Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo sangat bersyukur di atas peluang yang diberikan kepadanya untuk beraksi sebagai pemain Juventus memandangkan pemain seusianya biasanya akan berkelana ke Qatar atau China.

Katanya, selain Juventus, beliau tidak menerima sebarang tawaran lain.

“Untuk datang ke kelab ini pada peringkat kerjaya saya, saya sangat gembira,” katanya semasa pertama kali diperkenalkan sebagai pemain Juventus.

“Juventus memberikan saya peluang yang luar biasa, saya sangat bersyukur kerana mereka memberi nilai kepada gaya bola sepak saya, jadi ia adalah satu langkah ke depan.

“Juventus boleh mempunyai banyak kejayaan, mereka telah memenangi trofi domestik dan pelbagai gelaran serta ke final Liga Juara-Juara Eropah.

“Saya sangat berbangga kerana mereka berminat dengan saya, saya harap saya boleh membawa Juventus ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, terdapat banyak perkara penting yang menyumbang kepada keputusannya.

“Saya dalam keadaan baik, secara fizikal, mental dan emosi.

“Itulah sebabnya saya bangga apabila berada di sini dan cara saya datang ke sini.

“Saya berbeza dengan semua pemain lain yang berfikir bahawa kerjaya mereka sudah berakhir pada usia saya, tetapi saya ingin menunjukkan kepada orang lain bahawa saya berbeza.

“Ia sesuatu yang sangat emosional bagi saya kerana saya bukan 23 tahun lagi, saya sudah berusia 33 tahun.

“Ia memberikan saya momentum untuk masa depan,” katanya.

Ronaldo menjaringkan 450 gol untuk memenangi empat Liga Juara-Juara Eropah dan juara dua kali La Liga sepanjang berada di Real Madrid selepas berpindah dari Manchester United pada tahun 2009.

Ronaldo merupakan pemenang lima kali Ballon d’Or termasuk tahun lepas dan mengetuai Portugal menjuarai Euro 2016 buat pertama kali dalam sejarah.

“Saya mahu menang. Saya mahu menjadi yang terbaik. Siapa yang tahu, mungkin saya akan dianugerahkan Ballon d’Or sekali lagi tetapi perkara ini akan berlaku secara semula jadi.

“Ia sukar untuk memenanginya di Manchester dan Real Madrid, tapi mungkin di sini, kita akan lihat,” katanya.

Juventus adalah kelab Itali yang paling berjaya, memenangi Serie A sebanyak 34 kali termasuk menjadi juara sebanyak tujuh musim berturut-turut dan Coppa Italia sebanyak 13 kali.

Bagaimanapun, mereka tidak memenangi Liga Juara-Juara Eropah sejak 1996 dan meskipun sejak itu Juventus mara ke final sebanyak lima kali, mereka tewas dalam kelima-lima final tersebut.

“Saya tahu bahawa Liga Juara-Juara adalah trofi yang diidamkan oleh setiap kelab di Eropah, tetapi kita akan berjuang bukan sahaja untuk Liga Juara-Juara tapi untuk gelaran Serie A.

“Kami tahu persaingan akan menjadi lebih sengit tetapi kami mesti kekal fokus, saya harap saya dapat membantu Juventus memenanginya. Saya berharap saya dapat menjadi bintang bertuah di kelab ini dan kita lihat apa yang akan berlaku,” katanya.