Malaysia Berita

Siaran EPL tidak akan disiarkan di RTM tahun ini-Gobind Singh Deo

Nampaknya peminat bola sepak Inggeris di Malaysia perlu menunggu lebih lama untuk menyaksikan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara percuma di stesen televisyen kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ini disebabkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo baru-baru ini telah mengesahkan bahawa pihak kerajaan masih dalam peringkat mengkaji cadangan tersebut pada masa akan datang.

Katanya, kerajaan membuat keputusan untuk tidak menyiarkan EPL untuk musim 2018/2019 dan hanya akan dapat direalisasikan seawal tahun 2020.

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan boleh berubah berdasarkan situasi semasa terutamanya keadaan ekonomi negara.

“Siaran EPL secara langsung di RTM adalah satu perkara yang diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

“Untuk tahun ini, kita tidak boleh berbuat demikian kerana ia menelan kos yang besar melebihi dana yang diperlukan untuk siaran Piala Dunia 2018 sebelum ini yang mendapat tajaan berjumlah RM30 juta.

“Kerajaan juga mengambil inisiatif untuk mengurangkan perbelanjaan negara seperti yang disarankan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Siaran EPL mungkin bukan tahun ini, bukan tahun depan, kita tengok tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Harian Metro.

Sejajar dengan itu, bangunan Media City di Wisma Angkasapuri RTM bakal dilengkapi dengan peralatan dan teknologi moden bagi memperkasakan kualiti penyiaran stesen televisyen itu.

“Bangunan itu akan disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi. RTM akan mempunyai akses kepada peralatan moden untuk menyiarkan pelbagai program termasuk segmen sukan secara langsung dan lebih berkualiti,” katanya.