Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Brazil ketepikan cabaran Mexico, tempah tiket ke suku akhir

Brazil berjaya melangkah ke suku akhir setelah menepikan cabaran Mexico 2-0 dalam perlawanan 16 terakhir Piala Dunia yang dilangsungkan di Samara, malam tadi.

Neymar membuka jaringan setelah memperoleh umpanan daripada Willian pada awal babak kedua sebelum beliau pula mengumpan bola untuk Roberto Firmino menjaringkan gol pada lewat babak kedua.

Berikut merupakan hasil pemerhatian kami sepanjang perlawanan berlangsung tadi:

Guillermo Ochoa menamatkan kejohanan dengan cemerlang

Lupakan Hirving Lozano buat seketika, kerana Guillermo Ochoa merupakan pemain terbaik buat pasukan Mexico dalam perlawanan ini. Beliau melakukan satu demi satu aksi menyelamat untuk menggagalkan pemain-pemain Brazil, walaupun beliau akhirnya berjaya ditewaskan oleh Willian dan Neymar menerusi umpanan mereka yang berjaya melepasi beliau. Seperti mana edisi-edisi yang lalu, Guillermo Ochoa beraksi dengan cemerlang sepanjang kejohanan ini, namun Mexico sekali lagi ditunjukkan jalan keluar pada peringkat 16 terakhir.

Philippe Coutinho dihadkan ruang beroperasi

Percaturan Mexico memulakan perlawanan dengan 3 pertahanan tengah membuahkan hasil awal apabila Philippe Coutinho dihadkan ruang untuk menjana serangan atau sekurang-kurangnya melakukan rembatan jarak jauh yang menjadi ‘signature move’ beliau. Hanya kerana Mexico mahu menambah seorang lagi pemain di bahagian serangan pada babak kedua, barulah beliau kelihatan sedikit bebas untuk turut terlibat dalam gerakan-gerakan serangan pasukan Brazil.

Mexico hilang arah

Mexico memulakan perlawanan dengan positif pada babak pertama, namun semakin perlawanan berlangsung, mereka perlahan-lahan menjadi layu sebagaimana aksi mereka ketika menentang Sweden tempohari. Walaupun mereka menambah seorang lagi pemain di bahagian serangan iaitu Miguel Layun, namun mereka semakin buntu pula untuk memperoleh peluang untuk menyumbat gol ke dalam lubang gol Brazil.

Willian beraksi cemerlang

Neymar mungkin penjaring gol dalam perlawanan tadi, namun kredit selayaknya diberikan kepada Willian, yang melakukan kerja-kerja memecahkan barisan pertahanan Mexico dengan larian-larian yang penuh efisien. Selain gol Neymar tadi, beliau juga berjaya membuka peluang yang lain untuk barisan serangan Brazil menjaringkan gol namun gagal disudahkan oleh mereka.

Perlukah Tite beri peluang kepada Bobby?

Di awal program bicara pra-perlawanan Astro Supersport, panel membandingkan impak antara Gabriel Jesus dan Roberto Firmino dalam pasukan Brazil. Melalui statistik yang ditampilkan, dapat dilihat bahawa Bobby lebih memberikan impak berbanding Gabriel Jesus ketika bermain walaupun Bobby hanya digunakan sebagai ‘supersub’ berbanding Gabriel Jesus yang memulakan kesemua perlawanan setakat ini. Perlukah Tite memberikan Bobby peluang untuk memulakan perlawanan? Hanya Tite sendiri yang boleh menilai dan membuat keputusan.