Malam 1 Julai lepas bukan malam yang baik buat Sepanyol. Mereka telah mengikut jejak pasukan besar yang lain dan pulang lebih awal selepas ditewaskan oleh Russia menerusi penentuan sepakan penalti. Mereka sudah meletakkan diri di depan terlebih dahulu hasil daripada jaringan sendiri Sergei Ignashevich tetapi insiden bola terkena tangan Gerard Pique di dalam kotak penalti membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan. Ia bukanlah handball pertama yang memberikan gol di Piala Dunia 2018.
Samuel Umtiti adalah pemain pertama yang merugikan pasukannya akibat tangan yang nakal. Insiden bola terkena tangan pemain Barcelona ini dilihat lebih merugikan berbanding yang lain. Tidak pasti apa yang difikirkan oleh Umtiti, dia mengangkat tangannya dan melakukan gaya ala-ala slam dunk dalam bola keranjang. Pengadil tanpa ragu memberikan Australia sepakan penalti dan Mile Jedinak tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakannya.
The Socceroos kembali meraih keuntungan disebabkan tangan-tangan yang melakukan kesilapan. Hampir sama seperti Pique, pengadil menuding jari ke arah titik penalti selepas bola tandukan pemain Australia terkena tangan Yussuf Poulsen di dalam kotak penalti. Jedina sekali lagi menjadi individu yang menyempurnakan peluang itu dan kedudukan menjadi 1-1.
Sementara itu, untuk kes Carlos Sanchez, dia seperti menjadikan Luis Suarez sebagai idola. Aksi baru berlangsung tiga minit dan pertahanan Colombia sudah dikucar-kacirkan oleh serangan balas pantas daripada Jepun. Ketika Shinji Kagawa menendang bola ke gawang yang ditinggalkan David Ospina, Sanchez cuba menjadi wira dan menahan bola itu dengan tangan. Malangnya, tidak seperti Ghana, Samurai Blues berjaya menyumbat bola ke dalam gawang.
Cedric Soares menjadi pemain terakhir sebelum Pique. Hampir sama dengan bek Barca itu serta Poulsen, dia dianggap melakukan handball selepas bola tandukan Sardar Azmoun mengenai tangannya. Portugal seharusnya berpuas hati dengan keputusan seri dan tempat kedua dalam Kumpulan B.
Namun, terdapat juga pemain-pemain yang terlepas daripada hukuman penalti seperti Marcos Rojo dan Javier Hernandez. Walaupun sudah menggunakan VAR dan bola jelas dilihat mengenai tangan, pengadil tetap yakin untuk tidak memberikan penalti kepada dua pasukan lawan mereka. Situasi menjadi topik hangat, namun seperti apa yang pernah kita bahaskan sebelum ini, setiap pengadil mempunyai cari yang berbeza-beza.