Malaysia Liga Super Malaysia

Akhyar mahu ikut jejak langkah Shahrel Fikri

Kisah Shahrel Fikri yang berkelana ke Liga Thailand menjadi bualan pelbagai pihak, malah menjadi inspirasi kepada pemain-pemain lain terutamanya pemain muda kebangsaan, Akhyar Rashid.

Akhyar mendedahkan bagaimana beliau terkesan dengan kisah hidup Shahrel yang penuh dengan suka dan duka apabila menghadapi masalah jantung hingga hampir bersara sepenuhnya sebagai pemain bola sepak.

Bagaimanapun, Akhyar kagum dengan semangat Shahrel yang tidak pernah kenal erti putus asa sehingga berjaya menjadi dirinya seperti hari ini.

Kini, Akhyar mula terfikir untuk mengikut jejak langkah Shahrel satu hari nanti dan tidak akan memikirkan soal tawaran lumayan semata-mata.

“Jika menerima tawaran, saya mahu pergi beraksi di luar negara tanpa mengira gaji yang ditawarkan.

“Saya sangat berbangga dengan Shahrel yang mengharungi laluan berliku sebelum menyertai PKNP,” katanya kepada Astro Arena.

Di Kedah, Akhyar menjelaskan bahawa beliau cukup gembira dengan persefahamannya apabila beraksi bersama Andik Vermansah, malah mengakui bahawa mereka berdua mempunyai corak permainan yang hampir serupa.

Namun, Akhyar akui beliau perlu lebih berhati-hati supaya tidak mengalami sebarang kecederaan serius yang boleh menjejaskan kariernya ekoran sering kali dikasari oleh pertahanan pihak lawan.

“Kepantasan merupakan kelebihan saya dan lawan sering melakukan kekasaran untuk menghalang saya dan ia mampu memberikan kecederaan, jadi saya perlu lebih berjaga-jaga,” katanya.