Malaysia Berita

Shahrul Saad terlepas aksi Piala Raja Thailand, tiada pemain baharu akan dipanggil

Shahrul Saad disahkan tidak dapat beraksi dalam kejohanan Piala Raja Thailand minggu hadapan akibat mengalami kecederaan.

Ini setelah pemain pertahanan berusia 29 tahun itu melaporkan diri bersama pemain-pemain lain untuk menyertai kem latihan pusat semalam.

“Tetapi pemantauan oleh doktor dan fisioterapis pasukan terhadap kondisi kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati beliau tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang kedua-dua perlawanan di Chiang Mai nanti,” kata jurulatih negara Kim Pan-gon.

“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.”

Dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kata Pan-gon, Dion Cools akan menyertai pasukan di Chiang Mai pada Isnin ini.

“Tiada penambahan pemain baharu,” jelasnya.

Ini bermakna, Cools akan digandingkan dengan pemain lain sama ada Khuzaimi Piee atau Dominic Tan.

Seorang lagi pemain pertahanan dalam senarai bersedia yang boleh dipanggil ialah Shahrul Nizam Ros Hasni.