Malaysia Kolum

Piala Dunia punca Liga Malaysia lesu?

Piala Dunia, kemeriahannya dirasai di seluruh pelusuk dunia, tak terkecuali Malaysia. Dari Padang Besar ke Rantau Panjang, dari Johor Bahru hingga Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching tidak terkecuali jua. Rakyat Malaysia bersengkang mata, menggandakan tenaga untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia. Tapi sedarkah kita, bahawa Liga Malaysia kekal berjalan walaupun ada Piala Dunia.

Menjadi perdebatan hangat di media sosial mengenai jumlah penonton yang berkurangan angkara Piala Dunia. Tetapi wajarkah kita menyalahkan kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali ini sebagai punca Liga Malaysia dijauhi rakyat Malaysia sendiri?

Pertama kita perlu lihat pada kalendar bolasepak kita sendiri. Di kala Piala Dunia ini berjalan, perlawanan Liga Super dan Piala FA berselang seli dengan perlawanan Liga Super berlangsung pada hari berkerja dan Piala FA pada hujung minggu. Dengan Piala FA kini di peringkat separuh akhir, hanya lapan pasukan yang mempunyai dua perlawanan seminggu. Selepas aksi bertubi-tubi pada bulan puasa, kini kepada satu perlawanan seminggu dan hari berkerja pula. Selepas penat berkerja, mestilah ramai lebih memilih untuk duduk di atas kerusi empuk sambil menyaksikan aksi Neymar, Paul Pogba, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi daripada duduk di atas kerusi plastik/batu sambil menyaksikan aksi pemain tempatan.

Jadual yang disusun supaya liga tamat awal bagi memberi laluan kepada Piala Malaysia dan Piala AFF Suzuki sedikit sebanyak membuatkan penonton cepat letih dengan perlawanan liga berturut-turut. Ada cadangan supaya liga bercuti ketika Piala Dunia, tetapi itu tidak relevan kerana Malaysia tidak beraksi di Piala Dunia. Untuk kita mengikut kalendar bolasepak Eropah juga mustahil kerana keadaan cuaca dan budaya kita berbeza.

Satu lagi yang perlu kita tahu, kurangnya penonton ke stadium bukanlah sekadar sewaktu Piala Dunia sahaja, tetapi sebenarnya Piala Dunia mengurangkan lagi jumlah penonton yang sudah sedia kurang. Satu masalah dengan pasukan-pasukan di Malaysia adalah mereka mempunyai produk tetapi tidak tahu mempromosikannya. Umpama membuka kedai biskut Famous Amos tapi baunya yang harum disimpan untuk dihidu sendiri.

Dengan adanya media sosial banyak perkara sebenarnya boleh dilakukan untuk mempromosikan pasukan masing-masing ketika Piala Dunia. Kenapa pasukan seperti Sabah tidak menyatakan bahawa seorang bekas pemain mereka pernah beraksi untuk Senegal di Piala Dunia 2002 dulu? Negeri Sembilan juga sebenarnya boleh mengambil kesempatan di atas kekecohan pemilihan Andrew Nabbout bersama skuad Australia sebenarnya. Atau membuat sesi khas bersama pemain-pemain terutamanya pemain import dari negara yang layak ke Piala Dunia. Tapi malangnya, semua lebih memilih dengan “Kami tak ramai, tapi kami ada” yang merepek itu.

Akhir sekali, kita sendiri sebagai penyokong perlu bertanya kepada diri sendiri. Satu perkara yang mungkin kita tidak sedar adalah, sebenarnya mentaliti kita masih lagi belum sampai ke tahap ‘menyokong’. Kita masih di tahap ‘menonton’ bolasepak. Kerana kalau kita sudah di tahap menyokong, biarlah ada perlawanan Argentina vs Brazil di Piala Dunia sekalipun, kita tetap akan memilih untuk menyaksikan Pulau Pinang vs Felcra FC. Biarlah ada Lionel Messi vs Cristiano Ronaldo sekalipun, kita tetap akan memilih Amri Yahyah vs Matt Davies. Ketahuilah jika kita sudah ke tahap ‘menyokong’, rasa cinta sayang kita terhadap pasukan kita tidak berbelah bagi.

Tidak salah untuk anda terjebak dengan kehangatan Piala Dunia, tetapi janganlah sehingga diabaikan pasukan anda sendiri. Dengan kemudahan teknologi yang ada sekarang, anda boleh menyaksikan pasukan kegemaran anda dan menonton Piala Dunia pada masa yang sama. Semoga suatu hari nanti tiada lagi perdebatan seperti ini kerana liga kita berhenti rehat ketika Piala Dunia ekoran skuad negara sedang beraksi di pentas terulung bolasepak dunia.