Luar Negara Piala Dunia 2018

Tiket Piala Dunia mahal, pencinta bola sepak tidak kisah

Tiket Piala Dunia sememangnya idaman pencinta bola sepak lagi-lagi apabila negara sendiri layak untuk beraksi kejohanan paling berprestij di dunia itu.

Namun, ramai yang sedia maklum bahawa tiket Piala Dunia bukannya murah, satu tiket perlawanan boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

Malah, lokasi berlangsungnya Piala Dunia iaitu di Rusia bukanlah tempat yang dekat bagi penyokong sesetengah negara seperti Argentina, Brazil, Colombia, Costa Rica, Mexico, Panama, Peru dan Uruguay.

Tetapi, peluang untuk menonton aksi pemain terkemuka dunia seperti Lionel Messi ataupun Neymar menyaksikan ribuan penyokong Amerika Latin mengenepikan jarak serta kos perjalanan ke 11 buah bandar berbeza yang menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia kali ini.

Mengekori pasukan negara masing-masing dari ribuan kilometer jauhnya jelas bukan murah.

Menurut sebuah agensi pelancongan, kos seperti pakej perjalanan, penginapan dan tiga ataupun lebih pembelian tiket perlawanan memakan perbelanjaan antara RM32,236 ($8,000) hingga lebih RM120,885 ($30,000).

Segelintir penyokong yang tidak dapat membeli tiket perlawanan tetap memberikan sokongan padu bagi menghangatkan lagi suasana Piala Dunia memandangkan layar gergasi disediakan di zon penyokong.

Sebagai contoh, Kementerian Pengangkutan Peru melaporkan kira-kira 45,000 penyokong Peru tetap membuat perjalanan jauh meskipun negara mereka sudah tersingkir dari aksi Piala Dunia apabila mencatatkan dua kekalahan dan satu kemenangan.

“Apabila Peru layak, rakyat seakan tidak percaya. Mereka terus membeli tiket penerbangan dan lebih daripada pembelian tiket untuk sambutan Krismas dan Hari Ibu,” kata Ines Christing dari firma pelancongan, Despegar.com. – AFP