Piala Dunia 2018 Berita

Argentina rakamkan terima kasih kepada Davor Suker

Presiden Persekutuan Bola Sepak Croatia (HNS) memaklumkan bahawa beliau menerima banyak ucapan terima kasih daripada Argentina.

Ini berikutan anak buah Zlatko Dalic mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Iceland dan memimpin Kumpulan D dengan 9 mata penuh.

Kemenangan itu juga membantu Argentina untuk mara ke kelompok 16 terakhir setelah menewaskan wakil Afrika, Nigeria 2-1 semalam.

Davor Suker merupakan anggota skuad Croatia ketika Piala Dunia 1998. Ketika itu, beliau dan rakan-rakannya berjaya membawa Croatia ke saingan separuh akhir sebelum tewas 2-1 kepada tuan rumah, Perancis – memberitahu beliau menerima banyak ucapan terima kasih daripada kalangan Argentina.

“Hanya Uruguay dan kami mempunyai sembilan mata. Kami telah menunjukkan kami tidak membuat sebarang jangkaan dan imej kami telah meningkat.” katanya.

“Saya mendapat pesanan daripada semua, terutamanya Argentina.”

“Daripada (Diego) Maradona? Saya tidak mahu sebutkan nama, tetapi ramai kalangan Argentina hubungi saya, ucapkan terima kasih, mereka percayakan kami.”

Dengan menjuarai  Kumpulan D, anak buah Zlatko Dalic dapat mengelakkan pertembungan dengan Perancis di peringkat 16 terakhir, sebaliknya mereka akan bertemu Denmark.

Setelah beberapa pemain direhatkan ketika bertemu Iceland, Suker menyatakan Croatia bersedia untuk pertembungan pada awal pagi isnin nanti.

“Kami bersedia secara fizikalnya. Ia akan menjadi pertembungan yang sukar bertemu Denmark.” kata Suker.

“Pemain tengah akan menentukannya dan kami akan bermain dengan agresif seperti bertemu Argentina.”