Luar Negara Piala Dunia 2018

Jerman perlu hentikan sumpahan juara Piala Dunia, kata Reus

Marco Reus tidak mahu Korea Selatan menjadi penghalang buat Jerman untuk mara ke pusingan kalah mati malam ini sekali gus mengikuti nasib juara-juara Piala Dunia sebelum ini yang gagal melangkah ke pusingan seterusnya.

Reus hanya pemain gantian sewaktu tewas 0-1 kepada Mexico namun sebaik berada dalam kesebelasan utama menentang Sweden, beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan dan membantu Jerman untuk sekali lagi berpeluang ke pusingan kalah mati.

Berdepan minit-minit terakhir, Jerman meraih kemenangan penting 2-1 hasil sepakan lencong Toni Kroos yang turut dibantu Reus menerusi sepakan percuma.

Kemenangan itu menolak kemungkinan Jerman untuk menjadi juara bertahan keenam yang tersingkir daripada Piala Dunia meskipun kedudukan mereka masih belum selamat.

“Tentu sekali kami bermain dengan teruk ketika berdepan Mexico dan perlu berdepan kritikan tetapi pada pandangan saya, kita sudah terlalu lama bercakap mengenai perkara ini,” kata Reus.

“Kami perlu menjalankan tugas dan menang perlawanan ini, mungkin bukan sekadar 1-0 tetapi lebih daripada itu,” katanya.

Ini terutamanya apabila empat tahun selepas Sepanyol yang menjadi juara bertahan kelima yang tersingkir susulan aksi hambar di peringkat kumpulan, kedudukan pasukan Joachim Loew sebagai pasukan pilihan untuk menjadi juara berada dalam keadaan bahaya dan boleh tersingkir seawal pusingan pertama buat pertama kali sejak 1938.

Biarpun Korea Selatan berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Mexico dan Sweden, kesemua empat pasukan masih berpeluang untuk layak ke pusingan seterusnya.- AFP