Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Harry Kane cemerlang meledak hatrik, Felipe Baloy catat sejarah baharu Panama

England melangkah ke pusingan kedua dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasukan Panama dengan jaringan 6-1 dalam perlawanan Kumpulan G yang berlangsung di Nizhny Novgorod, malam tadi. Gol-gol England dijaringkan oleh Harry Kane (3x), John Stones (2x) dan Jesse Lingard manakala Felipe Baloy menjaringkan gol saguhati pasukan Panama.

Berikut merupakan hasil penilaian kami sepanjang perlawanan tadi berlangsung:

England jelas dominan

Lima gol telah dijaringkan oleh pasukan England pada babak pertama sahaja sebelum mereka menambah satu lagi gol pada babak kedua. Pendek cerita, mereka terlalu dominan buat pasukan Panama dengan aksi yang serba menjadi dalam kesemua aspek, baik penguasaan bola mahupun menyudahkan peluang-peluang yang terhidang di hadapan gol.

Bola mati England bakal menjadi ancaman pasukan lain

Empat daripada tujuh gol England yang terhasil setakat ini hadir daripada situasi bola mati. Kami percaya ini telah menunjukkan betapa berbahayanya mereka dalam situasi ini terhadap pasukan lain setelah apa yang ditampilkan oleh mereka dalam perlawanan menentang pasukan Tunisia dan pasukan Panama dalam dua perlawanan terawal mereka. Sudah pasti ini akan membuatkan pasukan-pasukan yang akan menentang England nanti berfikir dua atau tiga kali untuk menghadiahkan sepakan penjuru atau sepakan percuma kepada mereka.

Panama tumpul di bahagian serangan

Sekali lagi, pasukan Panama dikecewakan oleh penyudah yang tumpul tatkala mereka sesekali berjaya memperoleh peluang untuk melakukan jaringan. Hanya di penghujung perlawanan akhirnya mereka berjaya memperoleh gol pertama mereka di pentas Piala Dunia, itupun hadir daripada kapten mereka yang beraksi di posisi pertahanan, iaitu Felipe Baloy.

Felipe Baloy mencatat sejarah baharu Panama dalam bola sepak

Sebagai ahli tertua dalam skuad Piala Dunia Panama, ianya adalah suatu yang poetik apabila beliau berjaya menolak bola masuk ke lubang gol pasukan England setelah menghulurkan kaki untuk menyambar sepakan percuma Roberto Avilla, 12 minit sebelum tamat perlawanan, sekaligus menjadikan beliau sebagai penjaring pertama Panama di pentas Piala Dunia. Kalau di Malaysia ni, sudah pasti Felipe Baloy akan mendapat gelaran Tan Sri atas sumbangan tertinggi beliau dalam konteks bola sepak kepada negara, lebih-lebih lagi apabila beliau dilaporkan akan bersara sepenuhnya daripada bola sepak selepas tamat kempen Piala Dunia mereka.

Harry Kane dan gol tidak dapat dipisahkan

Dua gol ketika menentang pasukan Tunisia ditambah dengan hatrik pada malam tadi menentang pasukan Panama, meletakkan beliau dihadapan dalam perlumbaan Kasut Emas pada edisi kali ini setakat ini dengan jumlah lima gol, mengatasi Cristiano Ronaldo dan Romelu Lukaku yang mempunyai empat gol ketika ini. Konsistensi yang sebegini sudah pasti akan meletakkan beliau sebagai calon tetap pemenang Kasut Emas pada setiap kejohanan antarabangsa, baik di pentas Piala Dunia mahupun pentas EURO.