Santai Luar Negara

Costa Rica: Imbasan kejutan Piala Dunia 2014

Costa Rica atau nama jolokannya Los Ticos merupakan sebuah pasukan dari Amerika Tengah. Pasukan bola sepak mereka telah menyertai kejohanan Piala Dunia sebanyak 4 kali termasuk edisi kali ini.

Kali pertama mereka berjaya menjejakkan kaki ke pentas ini adalah pada tahun 1990 di Itali. Skuad 1990 berjaya mara sehingga peringkat suku akhir dan itu merupakan satu pencapaian yang hebat bagi sebuah pasukan yang pertama kali memasuki kejohanan tersebut.

Piala Dunia 2002 dan 2006 menyaksikan mereka sekadar bermain di peringkat kumpulan. Pada kedua-dua edisi tersebut, mereka menamatkan saingan di tangga ketiga.

Setelah tidak layak ke Piala Dunia 2010, mereka membuat kemunculan kembali di Piala Dunia 2014 Brazil. Kempen mereka pada tahun 2014 mengejutkan peminat bola sepak seantero dunia.

Manakan tidak, pada kempen tersebut mereka berjaya mengalahkan juara 4 kali dan 2 kali Piala Dunia serta menghantar pulang juara Piala Dunia 1966 di peringkat kumpulan.

Namun pasukan bimbingan Jorge Luis Pinto ini terpaksa akur dengan kekalahan pada saingan suku akhir. Namun begitu, skuad 2014 ini meninggalkan satu sejarah gemilang apabila pertama kali mara sehingga tahap ini dalam kejohanan Piala Dunia.

Mampukah skuad Los Ticos pada kali ini menyamai rekod skuad 2014 lalu?

Berikut adalah rangkuman kempen Costa Rica pada Piala Dunia 2014:

Uruguay 1 - 3 Costa Rica

Perlawanan pembukaan Kumpulan D dalam Piala Dunia 2014 Brazil. Wakil Amerika Selatan, Uruguay menjadi pasukan pertama untuk menguji skuad Los Ticos. Perlawanan berlangsung di Fortaleza dan pengadil bertugas pada hari tersebut  ialah Felix Brych dari Jerman. Uruguay berjaya mendahului menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Edinson Cavani. Babak kedua bersambung dengan anak buah Jorge Luis Pinto bangkit dengan 3 gol untuk menumbangkan Uruguay. Gol-gol tersebut dijaringkan oleh Joel Campbell, Oscar Duarte dan Marco Urena.

Italy 0 - 1 Costa Rica

Perlawanan kedua mereka bertemu dengan juara 4 kali Piala Dunia, Itali. Enrique Osses dari Chile bertugas untuk mengadili perlawanan tersebut di Arena Pernambuco. Jaringan tunggal Bryan Ruiz pada minit ke-44 sudah mencukupi untuk mengutip 3 mata penuh. Keputusan ini mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia. Dua kemenangan berturut-turut menjadikan mereka memimpin Kumpulan D dengan 6 mata.

Costa Rica 0 - 0 England

Perlawanan terakhir Kumpulan D menemukan dengan skuad The Three Lions. England yang kalah kedua-dua aksi awal peringkat kumpulan ingin memastikan mereka membawa pulang sesuatu pada kali ini. Sebelum itu, mereka telah disahkan tersingkir ekoran Costa Rica berjaya mengalahkan Itali 1-0. Perlawanan terakhir ini berkesudahan seri tanpa jaringan dan Costa Rica melangkah ke saingan kalah mati dengan bergaya.

Peringkat 16

Pusingan ke-16 kalah mati menemukan mereka dengan naib johan Kumpulan C, Greece. Berlangsung di Arena Pernambuco, Costa Rica berjaya mendahului menerusi Bryan Ruiz pada minit ke-52. Greece tidak mengalah dengan mudah dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir menerusi Papasthathopoulos. Perlawanan diheret ke masa tambahan. Walaubagaimanapun, Costa Rica berjaya mara ke peringkat suku akhir setelah Theofanis Ghekas gagal menyempurnakan sepakan penalti yang ke-5.

Suku Akhir

Kejayaan mara sehingga ke suku akhir merupakan satu pencapaian terbesar mereka setakat ini. Menunggu mereka disini adalah finalis Piala Dunia 2010, Belanda. Perlawanan berlangsung di Arena Fonte Nova dengan kehadiran lebih 50,000 penonton. Perlawanan berlangsung sengit namun tiada gol dijaringkan sepanjang 120 minit masa permainan. Penentuan penalti menjadi batu penghalang skuad Costa Rica maju ke separuh akhir setelah sepakan Bryan Ruiz dan Michael Umana tidak menemui jaring. Costa Rica tewas 4-3 kepada Belanda.