Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: Navas tidak bernasib baik, Coutinho dan Neymar pecahkan kebuntuan Brazil

Perlawanan kedua untuk Kumpulan E di antara Brazil dan Costa Rica berlangsung di Saint Petersburg Stadium. Neymar Jr dan rakan-rakan turun dengan misi untuk mendapatkan 3 mata penuh bagi mencerahkan peluang ke saingan kalah mati.

Perlawanan ini didominasi oleh Brazil dengan Costa Rica lebih memilih untuk bermain dengan defensif. Sesekali mereka melancarkan serangan balas untuk mendapatkan gol.

Namun yang menjadi perhatian utama adalah kecekapan Keylor Navas mengawal pintu golnya daripada dibolosi. Pemain pertahanan mereka juga memainkan peranan bagi membantunya.

Brazil kelihatan hampir berputus asa untuk mendapatkan gol. Namun, ketika masa tambahan, P.Coutinho dan Neymar Jr segera merebut peluang terhidang di depan mata untuk menjaringkan gol bagi memastikan 3 mata penuh berjaya dirangkul pada hari ini.

Berikut adalah beberapa pemerhatian kami sepanjang perlawanan ini:

Serangan melalui kiri

Brazil pada separuh masa pertama banyak melakukan serangan melalui bahagian kiri mereka. Antara pemain yang banyak terlibat adalah Neymar Jr, Marcelo dan P. Coutinho. Namun hantaran lintang dari sayap kiri ini tidak dapat disambut oleh G. Jesus atau Willian. Cubaan ‘cut inside’ dan memasuki ke kotak penalti sedikit sukar kerana Costa Rica meletakkan 5 pertahanan untuk melindungi gawang mereka.

Neymar Jr dikawal rapi

Pemain sensasi Brazil, Neymar Jr sentiasa dikawal rapi oleh pemain Costa Rica. Ini membuatkan Brazil tidak dapat menggunakan 100% kelebihan dari segi kelincahan, larian laju dan lorongan bola darinya untuk membantu serangan. Kadang-kala, beliau dilihat sering dikasari oleh pemain Costa Rica. Namun babak kedua sedikit berbeza. Beliau dapat bergerak sedikit bebas dan berjaya melakukan larian dan lorongan kepada rakan-rakan. Satu gol pada masa tambahan mencerahkan peluang Brazil ke saingan kalah mati.

Keylor Navas cemerlang

Agak sibuk hari ini buat insan bergelar Keylor Navas ini. Penjaga gol Real Madrid ini berjaya menafikan beberapa cubaan tepat ke arah pintu gol. Bantuan daripada pertahanan yang kekal fokus juga amat membantu. Pemain Brazil kelihatan hampir putus asa untuk mendapatkan gol. Namun beliau akhirnya tewas 2 kali pada masa tambahan dek rembatan oleh Coutinho dan Neymar.

Kemasukan Bolanos memberikan dimensi baharu

Pemain ini dimasukkan pada minit ke-54 menggantikan Marco Urena. Walaupun Costa Rica dilihat lebih bertahan dalam permainan ini, dengan adanya Bolanos, serangan balas yang dilakukan tampak lebih berkesan jika dibandingkan semasa ketiadaan beliau pada separuh masa pertama.

P. Coutinho MOTM pilihan kami

Dengan Neymar yang sering dikawal ketat oleh pemain Costa Rica, pemain tengah Barcelona ini dilihat dapat merencanakan sesuatu untuk permainan Brazil. Menjadi idea serangan yang kreatif untuk rakan sepasukan. Beberapa kali membuat percubaan tepat untuk menguji penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas. Hasilnya, beliau berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-91.