Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: Musa muncul hero Nigeria di Volgograd, Iceland bakal hadapi tugas sukar

Nigeria meletakkan diri dalam kedudukan yang lebih selesa untuk mengiringi Croatia ke pusingan 16 terakhir setelah menewaskan pasukan Iceland 2-0, hasil dua jaringan daripada Ahmed Musa dalam perlawanan Kumpulan D yang berlangsung di Volgograd, malam tadi.

Berikut merupakan hasil pemerhatian kami sepanjang perlawanan yang berlangsung tadi:

Iceland banyak bergantung kepada hantaran-hantaran lintang

Hantaran-hantaran lintang daripada pemain-pemain Iceland sangat banyak memberikan ancaman terhadap barisan pertahanan pasukan Nigeria. Namun begitu, pelan permainan ini tidak banyak membuahkan hasil kepada mereka setelah barisan pertahanan Nigeria berjaya menyerap setiap gerakan menyerang daripada pemain-pemain Iceland. Malah, hantaran-hantaran lintang pemain Iceland, terutamanya daripada Bjarnasson dan Sigurdsson mudah dikeluarkan oleh barisan pertahanan Nigeria.

Nigeria menggunakan formasi 3 pertahanan untuk memegang penguasaan bola

Pasukan Nigeria melakukan perubahan taktikal daripada perlawanan pertama apabila menggunakan pertahanan bertiga dalam perlawanan ini. Ternyata Gernot Rohr menjustifikasikan perubahan taktikal tersebut apabila berjaya mendapatkan penguasaan bola sebanyak 66% dalam perlawanan. Namun, adalah sesuatu yang merugikan apabila penguasaan bola tersebut gagal diterjemahkan kepada jaringan gol oleh pasukan Nigeria.

John Obi Mikel lebih banyak beroperasi di posisi yang lebih defensif

Ketika perlawanan menentang pasukan Croatia yang lalu, John Obi Mikel lebih diarahkan untuk bermain peranan yang lebih ke hadapan dalam perlawanan. Namun dalam perlawanan ini, John Obi Mikel lebih diarahkan untuk bermain di posisi yang lebih ke bawah, iaitu midfielder defensif. Memandangkan posisi ini merupakan posisi semulajadi beliau, beliau dapat menampilkan permainan yang lebih baik berbanding dalam perlawanan yang sebelumnya iaitu ketika menentang pasukan Croatia.

Ahmed Musa menjustifikasikan pemilihan beliau

Gernot Rohr melakukan pertukaran pada barisan penyerang apabila hanya mengekalkan Victor Moses dalam kesebelasan utama manakala Kelechi Iheanacho dan Ahmed Musa mengambil alih tempat Alex Iwobi dan Odion Ighalo. Pemilihan Ahmed Musa berjaya dijustifikasikan apabila Ahmed Musa sendiri berjaya menyumbang dua gol dalam perlawanan ini hasil satu voli cantik setelah menyambut dengan cantik hantaran lintang daripada Victor Moses dan larian yang berjaya menewaskan Kari Arnasson dan Hannes Halldorsson untuk menolak bola ke gawang Iceland.

Iceland bakal menghadapi tugas berat menentang Croatia

Tewas dalam perlawanan ini bermakna pasukan Iceland bakal menghadapi tugasan berat pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Croatia untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir. Pastinya sukar untuk menggugat momentum pasukan Croatia yang sedang dalam prestasi terbaik mereka setelah memenangi 2 perlawanan yang terawal, terutamanya dalam perlawanan di mana mereka menewaskan pasukan Argentina 3-0 berbanding mereka yang seri 1-1 dengan pasukan Argentina. Pastinya perlawanan terakhir Kumpulan D akan menjadi tumpuan para peminat untuk mengetahui pasukan manakah di antara Nigeria, Iceland dan Argentina yang akan mengiringi pasukan Croatia ke pusingan 16 terakhir.