Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Analisis: Shaqiri bantu Switzerland bangkit, Serbia berdepan misi sukar

Buat pertama kali dalam Piala Dunia kali ini, pasukan yang bolos dahulu berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan.

Serbia mendahului di awal babak pertama menerusi jaringan Aleksandr Mitrovic, namun Switzerland bangkit di separuh masa kedua menerusia rembatan padu Granit Xhaka dan larian solo Xerdan Shaqiri di penghujung perlawanan menewaskan Dusko Tosic dan penjaga gol, Stojkovic.

Serbia kini berdepan misi sukar untuk menewaskan Brazil dalam perlawanan terakhir mereka. Ini analisis perlawanan di antara Serbia dan Switzerland.

 

Serbia mahu serang

Serbia memulakan perlawanan dengan menggunakan fromasi 4-3-2-1. Gandingan Matic dan Milivojevic di tengah memberikan kebebasan kepada Tadic, Milinkovic-Savic dan Kostic untuk lebih menyerang dan membantu Aleksandr Mitrovic. Milinkovic-Savic sekali lagi bakal diharapkan untuk menjadi tenaga kreatif, tetapi jangan dilupakan keupayaan Dusan Tadic yang mampu membuat hantaran kepada Mitrovic. Mitrovic yang memang terkenal dengan kekuatan fizikalnya akan sentiasa menguji dua pertahanan tengah Switzerland dan membantu membuka ruang kepada trio pemain tengah menyerang di belakangnya. Namun, dengan Ivanovic dan Kolarov yang kurang dari segi kelajuan, mereka terdedah dengan serangan di bahagian sayap.

Switzerland tidak neutral

Switzerland terkenal sebagai negara yang aman dan bersikap neutral, tetapi dalam perlawanan menentang Serbia, mereka bersedia untuk menyerang. Selepas memungut satu mata dalam perlawanan menentang Brazil, semangat Switzerland semakin memuncak untuk mencari kemenangan pertama. Formasi 4-2-3-1 turut digunakan mereka dengan tenaga kreatif daripada Shaqiri diperlukan. Namun, berbeza dengan Serbia yang mempunyai Milinkovic-Savic, Switzerland mungkin kekurangan perancang tengah yang kreatif. Sayang sekali Breel Embolo tidak diturunkan kerana dengan adanya dia dan Shaqiri menyerang Kolarov dan Ivanovic, pastinya benteng pertahanan Serbia akan bergelut. Mempunyai kelebihan dari segi kelajuan, pemain pertahanan Switzerland nampaknya tidak takut dengan serangan balas Serbia. Akanji sering membantu Ricardo Rodriguez di sebelah kiri dengan Valon Behrami menemani Schaer bertahan.

Serbia guna kuat fizikal tetapi perlahan

Serbia bukan pasukan seperti Brazil, Sepanyol atau Jerman. Mereka tidak mahu bermain cantik. Taktik mereka mudah. Gunakan kelebihan yang mereka ada, iaitu kelebihan fizikal. Dengan ketinggian 189 cm, Mitrovic adalah penyerang yang sukar dikawal terutamanya ketika bola di udara. Serbia tidak ada pemain seperti Neymar, Messi atau Ronaldo, tetapi mereka ada pemain yang boleh membuat hantaran cantik untuk mencari Mitrovic. Berdepan Akanji (186 cm) dan Schaer (186 cm), kita boleh tahu siapa yang akan menang jika hantaran dilakukan. Dengan pemain seperti Dusan Tadic dan Kolarov yang boleh membuat hantaran, tugas Mitrovic adalah dia perlu sentiasa bersedia di dalam kotak dan membuli pertahanan lawan. Namun, di sebalik kelebihan fizikal, satu perkara yang ketara adalah kekurangan dari segi kelajuan. Ianya agak ketara kerana Serbia tidak boleh bermain dengan 'defense line'yang terlalu tinggi dan lambat membuat serangan balas pantas. Ketika mereka membuat 'defense line' yang tinggi, Xerdan Shaqiri menghukum mereka.

Seferovic bukan Frei

Di saat Serbia menggunakan kelebihan mereka, Switzerland pula gagal menggunakan kelebihan mereka. Biarpun mereka bergelut jika berlawan fizikal, tetapi mereka mempunyai pemain yang lebih pantas daripada pemain Serbia. Dengan Serbia yang bermain secara bertahan, Switzerland sepatutnya perlu menyerang habis-habisan. Mereka tidak perlu takut dengan serangan balas Serbia kerana mereka tidak cukup laju. Melihat pemain Serbia cuba membuat 'counter-attack', kita yang menonton di tv merasa penat. Ricardo Rodriguez, Xerdan Shaqiri boleh menghantar bola, namun mereka tidak mempunyai seorang penyerang seperti bekas penyerang mereka, Alexander Frei yang cukup berbisa. Seferovic yang hanya menjaringkan 12 gol daripada 52 penampilan untuk Switzerland tidak berada dalam kelas yang sama dengan Frei. Mereka tidak boleh terus mengharapkan pemain tengah untuk membuat kerja tanpa ada penyerang yang berbisa di hadapan.

Lebih baik satu mata daripada tiada mata

Dalam perlawanan ini dan juga perlawanan di antara Brazil dan Costa Rica, pengajarannya adalah jangan pernah menyerah kalah sehingga saat terakhir dan juga semua pemain perlu mengekalkan konsentrasi sehingga wisel penamat dibunyikan. Ketika Serbia boleh sekurang-kurangnya mendapat empat mata daripada dua perlawanan, kini mereka sekadar mendapat tiga mata dan berkemungkinan tidak layak ke pusingan seterusnya. Ketika perlawanan sudah sampai ke penghujung, Serbia mungkin sedikit naif untuk terus cuba merebut tiga mata sehingga mengabaikan bahagian pertahanan mereka. Mempunyai barisan pertahanan yang perlahan dan berusia, ianya memang satu risiko yang sangat besar. Serbia akan berdepan Brazil dalam perlawanan terakhir sementara Switzerland akan berdepan Costa Rica yang sudah terkeluar daripada saingan. Tugas berat menanti Serbia.