Jurulatih Panama, Hernan Dario Gomez tidak sedikit pun menyembunyikan perasaannya mengenai pertemuan pasukannya menentang generasi emas Belgium pada perlawanan pembukaan hari ini.
Katanya, Panama sememangnya mempunyai masalah untuk menjaringkan gol dan pemainnya memerlukan tuah untuk mempunyai peluang ke atas Belgium.
Malah, Gomez langsung tidak cuba untuk menyembunyikan kesebelasan utamanya, tidak seperti jurulatih-jurulatih lain.
Apabila ditanya sama ada Panama boleh mengulangi kejutan Iceland terhadap Argentina, beliau tidak teragak-agak mempersoalkan perbandingan tersebut dengan pertemuan Panama dan Belgium.
“Iceland menyebabkan Croatia terpaksa bermain di pusingan playoff dan mereka juga bermain dengan baik dalam Kejohanan Eropah.
“Mereka bermain menentang Argentina yang tidak berada pada tahap yang sama seperti Belgium sekarang. Maksud saya, kualiti antara Iceland dan Argentina tidak begitu jauh seperti jarak antara Belgium dan Panama,” katanya.
Gomez tidak menolak peluang Panama untuk mengejutkan Belgium.
“Apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak,” katanya tetapi mengakui ia sebagai satu perkara yang tidak normal.
“Ia sangat jelas bahawa mereka adalah pasukan pilihan.
“Tetapi setiap perlawanan adalah berbeza, dan jika kita mempunyai hari yang baik, mungkin kita boleh mencapai sesuatu,” katanya.
Jika Panama berjaya melepasi peringkat kumpulan, Gomez berkata beliau sudah tahu bagaimana mereka akan meraikannya.
“Saya akan minum dua botol vodka,” katanya dengan ketawa, sebelum menarik semula kata-katanya. “Tidak, tidak …kami profesional.”
Gomez menamakan 11 pemainnya tanpa teragak-agak malah beliau juga mendedahkan formasi yang akan digunakan.
Gomez berkata Panama hanya akan bertahan menentang Belgium kerana beliau akui kelemahan pasukannya adalah menjaringkan gol.
“Kami kuat di bahagian pertahanan, itu adalah kehebatan Panama.
“Panama bukannya satu pasukan yang akan menjaringkan banyak gol, kita boleh mencipta peluang dalam beberapa pertandingan, tetapi kami tidak mampu untuk menjaringkan gol, kami tiba di Piala Dunia dengan masalah menjaringkan gol,” katanya.
Gomez berkata pasukan itu membawa tanggungjawab besar dengan mewakili negara pada Piala Dunia buat kali pertamanya dan tugas utamanya ialah untuk memastikan pemain bersedia menghadapi tekanan yang mereka bakal hadapi.