Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 18 Jun 2018

Spekulasi perpindahan sentiasa menjadi perhatian peminat bola sepak. Sesetengah pemain mungkin mula memikirkan hala tuju baru selepas kurang mendapat peluang bersama pasukan masing-masing pada musim lalu. Tidak kurang juga pasukan yang bercadang memperkuatkan skuad setelah gagal mencapai tahap yang dikehendaki, sebelum ini.

Berikut merupakan transfer rumours yang menjadi pilihan pada kali ini.

Mario Gotze

Wira Piala Dunia 2014 buat Jerman ini kini menjadi buruan Tottenham Hotspur selepas dilaporkan bakal meninggalkan Borussia Dortmund. Sebelum ini, Liverpool, Everton dan West ham United turut dikaitkan sebagai destinasi seterusnya buat pemain berusia 26 tahun ini. Walaupun hanya melakukan 39 penampilan dalam tiga musim di Bundesliga, Jurgen Klopp dikatakan tetap berminat untuk membawa Gotze ke Anfield, namun memandangkan penurunan prestasinya bakal menyaksikan harga pemain itu menurun, Spurs muncul pasukan terbaru yang mahu memilikinya.

Hakim Ziyech

Bintang Maghribi di Piala Dunia 2018 ini memiliki nilai klausa perpindahan berjumlah hanya GBP18 juta dan kini, dia dilaporkan menjadi buruan Liverpool selepas The Kop gagal mendapatkan khidmat perancang Lyon, Nabil Fekir. Pemain sayap berusia 25 tahun itu telah menarik perhatian beberapa kelab gergasi Eropah termasuk AS Roma, Borussia Dortmund dan Lyon. Bagaimanapun, Jurgen Klopp dilihat cuba untuk menggandingkan pemain AFC Ajax itu dengan trio serangan iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Jack Wilshere

Memandangkan kontrak sedia ada yang dimiliki Wilshere bersama Arsenal bakal tamat pada musim panas ini, West Ham United dan Everton muncul calon terbaru yang akan meraih khidmatnya secara percuma. Sebelum ini, pengendali baru The Gunners, Unai Emery, menjelaskan dia tidak mampu memberi jaminan beraksi buat pemain tengah England itu. Wilshere turut ditimpa malang apabila tidak disenaraikan The Three Lions untuk aksi Piala Dunia 2018. Bagaimanapun, Everton dan West Ham sangat berminat untuk mendapatkannya, walaupun mungkin akan berdepan cabaran daripada beberapa kelab luar seperti Sampdoria, Juventus dan AC Milan.

Nabil Fekir

Fekir melepasi ujian kesihatan untuk ke Liverpool sebelum ini, namun perpindahan itu gagal diselesaikan selepas Lyon dan The Reds tidak mencapai kata sepakat. Bagaimanapun, situasi itu tidak melenyapkan persoalan mengenai masa depan pemain tengah Perancis itu di pentas Ligue 1, apabila Chelsea dan Tottenham Hotspur dikatakan berhasrat untuk mendapatkannya. Sebagai rekod, Fekir telah menyumbat 18 gol serta lapan bantuan jaringan dalam musim 2017/18.

Petr Cech

Penjaga gol veteran republic Czech ini dilihat seakan-akan mampu menamatkan karier bersama Arsenal, namun kini telah menarik perhatian Napoli yang dibimbing pengendali baru, Carlo Ancelotti. Menurut Gazetta dello Sport, Napoli mahukan khidmat Cech untuk menggantikan Pepe Reina. Tatkala Arsenal dilihat mungkin akan melepaskan khidmat Cech atau David Ospina bagi memberi laluan buat Bernd Leno dari Bayer Leverkusen, Serie A mungkin menjadi destinasi ideal buat Cech.