Piala Dunia 2018 Luar Negara

Previu Serbia di Piala Dunia 2018: Sejarah baru yang ingin dicipta Sang Helang Balkan

Sebagai pewaris kejayaan bola sepak Yugoslavia, Serbia sering dikaitkan dengan sejarah lampau. Mereka berusaha untuk mengulanginya tetapi jelas sekali prestasi Serbia sedikit ke belakang. Selain menjadi pelengkap saingan peringkat kumpulan ketika Piala Dunia 2006 dan 2010, tiada apa yang boleh dibanggakan.

Bagaimanapun, ketika ini Serbia sedang cuba menuliskan sejarah baru buat mereka sambil tidak menoleh ke arah kejayaan lampau. Sang Helang Balkan ingin kembali dihormati di dunia bola sepak antarabangsa dengan prestasi terkini.

Permulaan yang baik dapat dilihat melalui pasukan junior apabila menjuarai saingan Piala Eropah B-19 dan Piala Dunia B-20 pada tahun 2013 dan 2015. Kini, skuad senior Serbia diwajibkan untuk menampilkan aksi memukau di Piala Dunia 2018. Semua pihak mahukan nama Serbia selaku negara bola sepak dapat dikembalikan.

Barisan pemain

Pada 24 Mei lalu, Mladen Krstajic selaku pengurus pasukan telah mengumumkan skuad Awal Serbia. Seramai 27 orang pemain telah dipilih untuk memasuki senarai itu. Kemudiannya, senarai tersebut dikecilkan menjadi 23 orang, baru-baru ini.

Dalam senarai itu, Krstajic menampilkan tiga generasi berbeza. Kombinasi ini diharap dapat membentuk skuad yang mantap. Generasi pertama menampilkan wakil dari Piala Dunia 2010 iaitu Aleksandr Kolarov, Branislav Ivanovic sehingga Vladimir Stojkovic. Kedua, pemain yang lebih muda tetapi bakal memasuki usia emas iaitu Nemanja Matic, Adem Ljajic serta Dusan Tadic.

Generasi terakhir dan yang termuda adalah sebahagian besar daripada skuad juara B-19 dan B-20. Jumlah 11 pemain daripada dua pasukan itu telah dipilih dan nama paling dikenali ketika ini tentunya Sergej Milinkovic-Savic.

Kekuatan

Permainan Serbia yang menumpukan serangan daripada sayap telah terbukti menghadirkan banyak gol. Ketika kelayakan, mereka memiliki kadar purata jaringan yang bagus, iaitu dua gol setiap perlawanan. 15 daripada 20 jaringan itu dicetak oleh pemain serangan, sekaligus memberikan kredit tersendiri buat barisan depan.

Selain itu, ketika kelayakan juga menyaksikan Serbia diundi bersama pasukan yang memiliki kekuatan seimbang seperti Austria, Republik Ireland serta Wales. Mereka hanya mengesahkan tempat dalam aksi terakhir, jadi mereka sudah terdedah dengan persaingan sengit. Situasi ini menjadi pemangkin untuk mereka berdepan lawan yang seimbang kecuali Brazil.

Kelemahan

Walaupun dibarisi pemain-pemain yang dikenali, pertahanan Serbia sedikit goyah. Mereka mudah dibolosi melalui bola udara serta umpanan bahaya. Jika melihat rekod, mereka jarang mengelakkan gawang daripada dibolosi dalam sesebuah perlawanan. Jadi, ia menjadi tugas besar buat Krstajic tatkala tiada lawan mudah di Russia.

ROME, ITALY – SEPTEMBER 20: Sergej Milinkovic Savic of SS Lazio in action during the Serie A match between SS Lazio and SSC Napoli at Stadio Olimpico on September 20, 2017 in Rome, Italy. (Photo by Giuseppe Bellini/Getty Images)

Pemain utama: Sergej Milinkovic-Savic

Dalam musim ketiganya bersama Lazio, pemain kelahiran Sepanyol ini semakin menyinar. Catatan 14 gol serta Sembilan bantuan jaringan mungkin tidak begitu banyak tetapi kemampuannya melebihi kutipan itu. Dia juga kukuh ketika bertahan dan mampu mencipta peluang. Penampilannya memberikan sumbangan besar buat Lazio pada musim ini.

Selepas dipinggirkan oleh Slavoljub Muslin ketika kelayakan, Krstajic yang menggantikan pengurus itu memanggilnya semula untuk memainkan peranan utama di bahagian tengah. Bersama Ljajic dan Matic, dia membentuk tonggak tengah yang kukuh buat Serbia. Jika dia mampu memberi kesan besar kepada pencapaian Serbia di Russia, harganya sudah pasti akan melonjak.

Jangkaan formasi

Berbeza dengan Muslin yang mempertaruhkan lima pertahanan, Krstajic lebih gemar dengan pendekatan 4-2-3-1, 4-3-3 serta 4-1-4-1, tiga formasi yang hampir sama. Sehingga kini, pemain-pemain Serbia dilihat dapat menyesuaikan diri. Malah, gaya menyerang Serbia ketika di bawah bimbingan Muslin juga tidak banyak berubah.

4-2-3-1 mungkin akan dicuba sebagai formasi utama berdasarkan kekerapan penggunaan oleh Krstajic. Stojkovic akan diletakkan selaku penjaga gol utama sambil empat orang pemain pertahanan di depannya akan terdiri daripada Kolaroc, Ivanovic, Matija Nastasic dan Antonio Rukavina.

Dua pemain tengah akan dipertaruhkan menerusi Matic dan Milinkovic-Savic, sambil Luka Milivojevic akan bersedia sekiranya berlaku sebarang pertukaran antara mereka. Posisi sayap kiri akan digalas oleh Filip Kostic dan Tadic di sebelah kanan. Mereka akan membantu Ljajic yang bakal berperanan besar di belakang penyerang utama, Aleksandar Mitrovic.

Peluang di Piala Dunia 2018

Ketika ini, layak ke pusingan kedua sudah cukup bagus buat Serbia jika memikirkan mereka sudah lama tidak tampil di pentas utama antarabangsa. Namun, kualiti yang dimiliki mencerahkan peluang mereka untuk lebih jauh.

Keadaan ini disokong dengan jadual yang cukup sesuai apabila diundi bertemu Brazil dalam aksi terakhir. Itu bererti mereka harus memanfaatkan perlawanan pertama dan kedua ketika bertemu Costa Rica dan Switzerland bagi meraih kemenangan dengan mudah. Jika mereka tewas sekali, peluang Sang Helang Balkan untuk mara menjadi sukar.