Luar Negara Eropah

Tottenham inginkan Anthony Martial?

Tottenham bakal mengadakan perbincangan dengan pihak Manchester United bagi mendapatkan Anthony Martial minggu hadapan.

Menurut Daily Mail, ketua jurulatih Tottenham, Mauricio Pochettino beranggapan bahawa Martial merupakan seorang pemain yang mampu memberikan pasukannya kelebihan untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Tambahan lagi apabila pengerusi Spurs, Daniel Levy menyediakan sekurang-kurangnya £100 juta pound dana untuk pemain baharu dan tidak mempunyai masalah untuk menggunakannya bagi mendapatkan Martial.

Martial pula tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan Perancis yang beraksi di Piala Dunia menyebabkan lebih mudah untuk kedua-dua kelab mengaturkan perbincangan dengan syarat bersetuju ke atas yuran perpindahan.

Bagi Man United, mereka akan cuba mendapatkan yuran perpindahan Martial sebanyak yang mungkin sama seperti ketika pemain berusia 22 tahun itu di bawa ke Old Trafford pada tahun 2015.

Asalnya, Martial menandatangani kontrak dengan yuran perpindahan bernilai £38 juta pound, tetapi perpindahannya mempunyai pelbagai bayaran tambahan lain menyaksikan perpindahan sebenarnya bernilai £58 juta pound.

Namun, kebarangkalian untuk mendapatkan yuran perpindahan yang sama daripada Spurs adalah sukar memandangkan Levy terkenal dengan kedegilannya mengadakan sebarang rundingan terutamanya apabila membabitkan yuran perpindahan.

Spurs ketika ini mempunyai beberapa pemain yang bermain di posisi sayap seperti Martial iaitu Erik Lamela, Lucas Moura dan Son Heung-min.

Bagi posisi penyerang, Spurs hanya mempertaruhkan dua pemain iaitu Harry Kane dan Fernando Llorente.