
Persatuan Bolasepak Perak mengesahkan penyertaan rasmi pasukan Perak dengan sokongan kerajaan negeri dalam Liga A1 bagi musim 2025/2026.
Ini selepas Perak gagal meraih lesen kebangsaan sekaligus tidak layak bertanding Liga Malaysia.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Perak FA, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad
“Ini sebagai langkah penting dalam fasa kebangkitan, pemulihan dan pembangunan semula bola sepak negeri yang berdaya saing dan mampan,” kata Perak FA dalam kenyataan.
Katanya, Menteri Besar turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha Perak FA untuk kembali membina kekuatan dari bawah dan memberi peluang kepada bakat anak muda negeri untuk menyerlah di pentas yang lebih tinggi.
“Back to basic.” Itulah pesan beliau supaya Perak FA bermula semula dengan asas yang kukuh, tersusun dan berpaksikan kepada pembangunan anak jati negeri.”
Perak FA menyerap beberapa pemain senior dalam skuad Liga A1 bersama pemain Sukma sebagai pendedahan buat barisan pemain muda.
“Dengan komitmen tinggi Datuk Seri Saarani dan sokongan kerajaan negeri, Perak FA kini berada di landasan baharu untuk mengorak langkah membina semula kegemilangan bola sepak Perak.
“Terima kasih Menteri Besar atas komitmen dan semangat luar biasa dalam memulihkan industri bola sepak negeri.”
Antara perkara utama yang dibincangkan Perak FA dengan Menteri Besar ialah:
-Penyertaan Perak FA dalam Liga A1
-Pembentukan semula pasukan Piala Belia dan Piala Presiden 2026
-Penganjuran liga akar umbi antaranya Liga Perak Sejahtera 2030, Liga Kelab Amatur Negeri, Liga Antara Agensi Kerajaan, Liga IPTA/IPTS Perak, Liga Darul Ridzuan Integrity Champion (DRIC), Liga Intergriti Daerah (Bawah 17 Tahun)