Malaysia Berita

FAM: Juventus berminat jalin kerjasama dengan Malaysia

Juventus dilaporkan berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi di negara ini.

Ini selepas Pengarah Urusan Juventus, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama Juventus, Kelvin Leung mengadakan kunjungan hormat terhadap FAM di ibu negara.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kelab gergasi Itali itu sedang meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala bertujuan memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia.

Katanya, menerusi perbincangan awal ini pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 tahun kebangsaan akan diberi peluang untuk menjalani latihan di akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.

“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior,” kata Hamidin dalam kenyataan.

“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia.

“Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.

“Juventus juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin.”

Tambah Hamidin, menerusi perbincangan awal juga pihak Juventus juga meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia.

“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah.”