Malaysia Liga Super Malaysia

Saya kenal Malaysia sebab Ghaddar, kata pemain import baharu Perak

Pemain pertahanan import baharu Perak, Jad Noureddine mendedahkan beliau sudah mengenali liga Malaysia sebelum menandatangani kontrak dengan Perak gara-gara Mohammed Ghaddar.

Katanya, Ghaddar banyak menceritakan mengenai Malaysia walaupun beliau sendiri tidaklah begitu asing dengan bola sepak Asia Tenggara.

“Saya pernah bermain dua tahun di Indonesia bersama Arema FC dan Pusamania Borneo FC, saya rasa corak permainan antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia ini tidak banyak beza.

“Saya mengenali Liga Malaysia daripada rakan seperjuangan dalam pasukan kebangsaan Lebanon iaitu Mohammed Ghaddar dan beberapa rakan lain yang bermain di sini,” katanya kepada Kosmo!

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Ahmad Shahrul Azhar Soffian berkata, pemain berusia 26 tahun itu akan menggantikan Robert Cornthwaite yang mengalami kecederaan jangka panjang.

“Disebabkan Cornthwaite tidak dapat beraksi untuk tempoh yang lama atas sebab kecederaan, pihak pengurusan dan kejurulatihan bersetuju untuk menggantikannya dengan pemain import lain.

“Selepas mengadakan perbincangan, Pafa bersetuju untuk menandatangani Noureddine sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain import berakhir,” katanya.

Noureddine akan menyertai tiga pemain import Perak yang lain iaitu Gilmar, Wander Luiz dan Leandro.