Liga Super Malaysia Berita

Hafizul Hakim tolak tawaran dari Kedah

Hafizul Hakim mendedahkan bahawa beliau telah menolak tawaran dari Kedah, namun beliau berjanji akan memutuskan sama ada akan kekal atau meninggalkan Perak dalam beberapa hari lagi.

Ini selepas beliau menerima tawaran dari tiga pasukan Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Saya masih dalam suasana Aidilfitri, dan saya ingin bersama keluarga tersayang sekarang,” katanya kepada The Star.

“Saya akan membuat keputusan minggu depan. Saya harus memikirkannya kerana saya telah bersama pasukan ini selama hampir enam tahun.”

Beliau mengakui, pemergian Shahrul Saad, Guilherme De Paula, Kenny Pallraj dan J Partiban memberi tamparan hebat kepadanya.

“Saya mahu terus kekal dan membantu kelab, tetapi setelah melihat rakan saya pergi, ia memaksa saya untuk memikirkan masa depan saya. Mesyuarat pengurusan terakhir juga tidak meyakinkan kita sama sekali. Seperti tidak ada rancangan jangka panjang.”

Hafizul juga sedih melihat pemain-pemain utama meninggalkan Perak tetapi beliau memahami tindakan mereka setelah pihak pengurusan mempersoalkan komitmen mereka terhadap pasukan itu.

“Kenyataan oleh pihak pengurusan yang mendakwa bahawa mereka hanya mahu mengekalkan pemain yang mempunyai semangat untuk bermain untuk Perak membuat saya marah.

“Mereka mempersoalkan komitmen kami ketika kami bermain selama berbulan-bulan tanpa gaji. Kenny dan Partiban pergi kerana itu. Sekiranya ada jalan penyelesaian, mereka akan terus kekal.

“Yang kami minta hanyalah gaji. Kami tidak meminta bonus atau apa-apa dana tambahan. Saya harap ada penyelesaian tidak lama lagi.”