Piala Dunia 2018 Kajian & Analisis

Previu Brazil di Piala Dunia 2018: Misi meneruskan pemburuan Hexacampeonato

Enam belas tahun sudah berlalu sejak Marcos Cafu menjulang trofi Piala Dunia di Yokohama, Jepun. Ketika itu, Brazil yang dibarisi nama-nama besar seperti Ronaldo Luiz, Rivaldo, Denilson, Ronaldinho dan Roberto Carlos sehingga pemain muda, Kaka, berjaya mengatasi Jerman 2-0 di final.

Selecao yang meraih gelaran juara kelima ketika itu tentunya tidak berpuas hati setakat itu. Usaha meraih Hexacampeonato atau gelaran keenam terus diusahakan, namun dalam tiga edisi Piala Dunia yang terakhir, perancangan itu gagal.

Bahkan, pada 2014, Brazil selaku tuan rumah telah dimalukan apabila dibelasah 7-1 oleh Jerman di peringkat separuh akhir. Jadi, gelaran pada 2018 menjadi medan untuk menebus dosa serta mengakhiri penantian yang lama terbuku dalam hati mereka. Bagi Selecai, Hexacampeonato tidak boleh terlepas lagi pada kali ini.

Barisan pemain

Tite selaku pengendali dengan mantap telah memilih 23 orang pemain pada 14 Mei lalu untuk dibawa ke Russia. Pemilihan pemain juga tidak menimbulkan sebarang perdebatan memandangkan majoriti pemain adalah barisan yang digunakan ketika aksi kelayakan.

Seramai 19 orang pemain ketika ini menjadi bintang-bintang di Eropah dan bertindak selaku tunjang utama pasukan. Hanya tiga orang pemain yang beraksi di liga domestik iaitu Cassio Ramos, pedro Geromel dan Fagner Lemos manakala Renato Augusto beraksi di China.

Kekuatan

Di bawah bimbingan Tite, Brazil hanya dibolosi lima gol dalam 19 perlawanan. Selain pertahanan yang kukuh, ia juga menjadi sebab Brazil hanya tewas sekali dan ia sewaktu aksi persahabatan. Lebih-lebih lagi, penampilan Alisson Becker di gawang yang beraksi cemerlang walaupun ia satu tugas berat.

Barisan depan juga tidak kurang hebatnya. Catatan 42 gol dalam 19 perlawanan menjadi bukti ketajaman mereka. Apa yang menarik, tiada kelibat dominan dalam kalangan pemain yang menyumbat gol, bermakna Brazil tidak hanya bergantung kepada seorang pemain sahaja.

Kelemahan

Jika permainan Brazil secara teknikal dan kualiti mereka tidak perlu diragukan, ia berbeza dengan kekuatan mental mereka. Dalam tiga kejohanan terakhir, prestasi mereka tidak membanggakan. Mereka gagal teruk di Copa America 2015 dan 2016 walaupun kualiti pasukan dimiliki tidak meragukan. Jika dilihat lebih jauh, aksi di Piala Dunia 2014 juga menjadi satu contoh terutamanya apabila melangkah ke peringkat kalah mati.

Keadaan ini mungkin sudah diperbaiki Tite dan Brazil dilihat sudah memiliki kekuatan mental yang bagus. Namun, saingan kelayakan tentunya berbeza dengan saingan sebenar, jadi ia masih belum terbukti.

Pemain utama: Neymar

Peranan Neymar dalam skuad kebangsaan amat besar. Sebagai pemain paling berpengalaman apabila memegang jumlah penampilan tertinggi dalam pasukan, dia mampu menjadi contoh buat semua pemain di bilik persalinan, malah dia merupakan bekas kapten Selecao. Tanpa kehadirannya, Tite dilihat menggunakan kapten yang berbeza dalam setiap aksi.

Di atas padang, aksinya tentunya memberikan kesan kepada keputusan. Kelibatnya juga akan memberikan motivasi yang lebih buat rakan sepasukannya. Catatan 28 gol dan 18 bantuan jaringan dalam 30 perlawanan bersama Paris Saint-Germain (PSG) juga dilihat hebat. Bayangkan, jika tidak ditimpa kecederaan, pastinya ia lebih daripada itu dan kini, pengembalian Neymar pastinya dinantikan.

Jangkaan formasi

Ketika kelayakan, formasi yang digunakan Tite adalah 4-1-4-1 dan 4-3-3. Namun, melihat dalam beberapa aksi terakhir, 4-3-3 mungkin menjadi pilihannya. Alasannya adalah formasi itu yang digunakan ketika berdepan pasukan Eropah sambil majoriti lawan yang akan ditemui di Piala Dunia nanti datangnya dari Eropah.

Untuk mengisi formasi itu, Tite telah memiliki ramuannya sendiri. Alisson dijangka akan ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab di gawang gol, sambil ditemani oleh Miranda yang akan digandingkan bersama Thiago Silva atau Marquinhos di posisi bek tengah. Marcelo dan Danilo akan berada di bahagian bek tepi.

Barisan tengah akan diisi Casemiro sebagai pemain bertahan tatkala Paulinho dan Fernandinho/Renato Augusto di depannya. Di barisan depan, gandingan trio Philippe Coutinho, Neymar dan Gabriel Jesus akan menjadi pertaruhan sambil Coutinho akan bertindak sebagai pemain yang fleksibel untuk ke bahagian kiri jika Neymar direhatkan dan Willian akan menggantikan tempatnya di kanan.

Peluang di Piala Dunia 2018

Brazil adalah salah satu calon juara. Saingan mereka di peringkat kumpulan juga bukan lawan setaraf. Namun, harus diingat bahawa laluan mereka untuk ke final cukup berat. Jika tiada kejutan yang terjadi, potensi lawan Brazil di pusingan kedua dan seterusnya adalah Mexico, Belgium/England dan Perancis. Fokus mereka tidak boleh hilang kerana ia mampu meragut peluang untuk mereka menjulang trofi pada kali ini.