Penjaga gol, Shahril Sa’ari yang kecewa kerana tidak terpilih untuk menyarung kembali jersi negeri kelahiran beliau, Terengganu FC (TFC) akhirnya memilih untuk bersama pasukan Perlis bagi menghadapai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.
Beliau yang sebelum ini menyarung jersi PKNS mengakui kecewa apabila sudah mencuba nasib sebanyak tiga kali untuk pulang menyarung jersi negeri kelahiran.
Dalam satu kenyataan di Berita Harian, Shahril memilih Perlis kerana percaya dengan kesungguhan yang ditunjukkan pasukan itu bagi menaikkan kembali mutu bolasepak mereka selepas melalui musim yang suram sebelum ini.
“Saya sudah menandatangani kontrak setahun dan ia dibuat selepas mengambil kira pihak pengurusan Perlis serius untuk meningkatkan mutu pasukan selepas beberapa tahun tenggelam.
“Selain itu, kehadiran beberapa bekas pemain kebangsaan termasuk Safee Sali, Azmi Muslim, Badhri Radzi dan Khyril Muhaimeen Zambri yang sudah bersetuju menyarung jersi skuad kendalian Manzoor Azwira (Abd Wahid) itu menambah keyakinan saya,”
“Mana-mana pemain sudah pasti mengidam tempat terbaik dalam pasukan, begitu juga saya, namun sedar peluang itu bukan senang digapai kerana perlu bersaing dengan dua lagi penjaga gol.
“Bagaimanapun, saya bertekad akan menggandakan usaha dalam misi itu selain mengintai semula peluang beraksi bersama pasukan kebangsaan musim depan,” katanya kepada Berita Harian.