Liga Super Malaysia Berita

Pahang tandatangan penjaga gol import, Mamadou Samassa

Pahang membuat kejutan apabila menandatangani penjaga gol dari Mali, Mamadou Samassa bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.

Penjaga gol berusia 32 tahun itu dilaporkam sudah tiba di Malaysia dan sedang menjalani kuarantin.

“Memang benar Samassa sudah tiba di negara ini dua hari lalu,” lapor sumber kepada Berita Harian.

“Kini beliau dalam tempoh kuarantin sebelum bersama rakan sepasukan menjalani latihan.

“Kehadiran Samassa diharap membantu pasukan Pahang dengan pengalaman yang dimiliki di pentas antarabangsa.”

Pahang kini memiliki empat penjaga gol iaitu Samassa, Zarif Irfan Hashimuddin, Daniel Wafiuddin Sa’dun dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi.

Pahang juga menjadi pasukan kedua yang menggunakan khidmat penjaga gol import dalam Liga Super musim ini selepas Kuala Lumpur City yang diwakili penjaga gol Filipina, Kevin Ray Mendoza.

Setakat ini, Pahang memiliki Manuel Hidalgo, penyerang import dari Jordan, Mahmoud Za’tara dan pemain pertahanan dari Perancis, Johan Martial.

Samassa akan diletakkan sebagai penjaga gol utama bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas penjaga gol kebangsaan, Helmi Eliza Elias yang tidak dilanjutkan kontrak.

Samassa yang berasal dari Montreuil, Perancis, memulakan karier profesional bersama Guingamp pada 2009.

Beliau menjadi penjaga gol utama pasukannya pada 2010 ketika beraksi dalam liga divisyen ke-3, membantu pasukannya layak ke Ligue 2 pada 2011 dan kembali ke Ligue 1 pada 2013.

Ketika di Guingamp, beliau menjulang trofi Coupe de France menewaskan Rennes 2-0 di perlawanan akhir.

Samassa kemudian berhijrah ke Troyes yang beraksi di Ligue 2 pada 2016, namun turut berjaya membantu pasukannya layak ke Ligue 1 pada 2017 sebelum tersingkir ke Ligue 2 pada 2018.

Beliau kemudian berpindah ke Sivasspor yang beraksi di Liga Turki pada 2019 dan kekal dengan pasukan itu hingga beliau menyertai kelab liga divisyen ke-2 di Greece, Levadiakos pada Sept 2021 menerusi kontrak jangka pendek.

Di peringkat antarabangsa, Samassa pernah beraksi dengan skuad Perancis B-18, B-19 dan B20.

Namun, beliau membuat keputusan untuk mewakili skuad kebangsaan Mali pada 2012.

Beliau membantu Mali meraih tempat ke-3 dalam Piala Negara-Negara Afrika pada 2013 selepas menewaskan Ghana 3-1.