Luar Negara Eropah

Mahu menggantikan Yaya Toure, Man City tawar £50 juta untuk Miralem Pjanic

Manchester City dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain Bosnia, Miralem Pjanic dengan menawarkan yuran perpindahan sebanyak £50 juta pound kepada Juventus.

Namun menurut Tuttosport, kelab gergasi Itali itu membuat keputusan untuk menolak tawaran daripada juara Liga Perdana Inggeris tersebut.

Tindakan itu menandakan City harus menawarkan tawaran yang lebih besar jika benar-benar ingin mendapatkan Pjanic.

Ketua jurulatihnya, Pep Guardiola ketika ini sedang mencari pemain tengah berkualiti bagi menguatkan lagi barisan tengah pasukan.

Ini kerana City ketika ini hanya mempunyai Kevin de Bruyne sebagai pemain berkelas dunia manakala pemain-pemain lain seperti David Silva sudah pun berusia 32 tahun manakala Oleksandr Zinchenko pula hanya berusia 21 tahun dan masih memerlukan masa untuk membuktikan kualitinya.

Selain itu, boleh dikatakan Ilkay Gundogan sahaja yang akan terus mengekalkan tempatnya di bahagian tengah manakala Yaya Toure sudah pun meninggalkan kelab setelah kontraknya tamat, malah masa depan Fabian Delph dan Fernandinho masih belum diketahui.

Tidak ketinggalan juga barisan pemain tengah muda City seperti Phil Foden dan Brahim Diaz namun segala-galanya terpulang kepada Guardiola jika beliau mahu memberi mereka peluang untuk bermain.

Di posisi sayap pula, City tidak berhadapan masalah apabila mempunyai Raheem Sterling, Leroy Sane dan Bernardo Silva walaupun berkemungkinan besar Guardiola akan menambah seorang lagi pemain bagi memudahkan proses penggiliran pemain.