Sukan SEA

Ultras Malaya gesa sistem jualan tiket diperbaiki di masa hadapan

Kumpulan penyokong setia skuad kebangsaan Malaysia, Ultras Malaya mengambil keputusan untuk menutup “curva” sebagai tanda solidariti kepada pemain yang ke 12 iaitu para penyokong yang tidak mendapat tiket perlawanan akhir sukan SEA di antara Malaysia menentang Thailand malam ini di Stadium Shah Alam. Hal ini disebabkan sistem jualan tiket secara online tidak dibuka dan jualan tiket di kaunter menjadi huru-hara serta tidak sistematik.


Menurut kenyataan di laman facebook rasmi Ultras Malaya, isu tiket masih berlarutan sehingga kini tanpa mengira mana-mana perlawanan dan masih tidak “bersistem” sehingga kini.

“Isu penjualan tiket tidak bersistem ini bukan isu baru dalam dunia bolasepak di Malaysia, baik di Liga-M atau perlawanan antarabangsa yang melibatkan pasukan negara bermain di separuh akhir atau perlawanan akhir, kekalutan akibat kelemahan sistem penjualan sering berlaku. Mereka yang mempunyai kuasa untuk mengubah harus sedar bahawa perubahan terhadap sistem itu perlu kerana jika tidak ianya akan mendatangkan kerugian terhadap pasukan itu sendiri ”

“Oleh sebab itu Ultras Malaya mengambil keputusan bersolidariti untuk semua pemain ke-12 yang bukan sahaja menjadi mangsa atas kelemahan ini di Sukan SEA saja tetapi bagi semua yang telah menjadi mangsa kerakusan ini dalam setiap kegagalan sistem jualan itu baik di Liga-M atau perlawanan lain”

“Sampai bila kita selaku penyokong nak kena hadap benda ini? Yang Berhormat sana sini sibuk dengan tiket percuma setiap kali semi final dan final atau perlawanan besar, orang berjawatan berpangkat dengan mudah mendapat akses kepada tiket dan sebagainya sedangkan kita selaku penyokong diperlakukan sedemikian rupa, walhal kita adalah antara nadi kepada sukan ini, dah 2017, perkara ini masih berlaku, setiap kali dalam bolasepak Malaysia baik di Liga-M atau perlawanan antarabangsa”

“Anda mungkin kata apa kaitan Liga-M dengan Sukan SEA, penganjur lain-lain, YA memang tiada kaitan bagi anda, tapi bagi kami ianya melibatkan kami selaku penyokong dalam scene bolasepak Malaysia. Ultras Malaya berharap agar semua pihak yang berwajib dan berkaitan membuka mata terhadap isu ini untuk kelangsungan dan kemudahan buat penyokong di masa hadapan”

Ultras Malaya juga berharap pihak badan pentadbir liga, FMLLP dan FAM agar belajar dari apa yang berlaku dan bersedia untuk melakukan perubahan untuk Liga Malaysia dan perlawanan antarabangsa yang lain, bagi pihak KBS selaku kementerian yang terlibat dengan sukan boleh kiranya menjalankan tanggungjawab untuk memberi penekanan terhadap perkara ini di masa hadapan

sumber: UM’07