Sukan SEA

Pemain Malaysia perlu fokus, jangan terpedaya dengan kecantikan pengurus Thailand

Kelibat seorang wanita jelita di bangku simpanan pasukan Thailand U22 ketika perlawanan bola sepak Sukan SEA sering menjadi tumpuan media. Wanita itu ialah Watanya Wongopasi iaitu pengurus pasukan Thailand U22. Beliau merupakan pengurus wanita yang pertama dalam sejarah bolasepak Thailand.

Namanya cukup dikenali di Thailand kerana beliau merupakan salah satu ikon dalam dunia penyiaran. Wanita yang berusia 32 tahun ini mahu membuktikan perempuan juga mempunyai minat dan mampu menyumbang kepada kejayaan pasukan bolasepak.

“Saya mahukan cabaran baru dalam karier saya, malah suami saya merupakan penggemar sukan bola sepak”

“Seperti penyokong di Thailand, kami berkongsi matlamat yang sama, mengharapkan pasukan ini menjadi juara. Sukan ini ialah sesuatu yang kami tidak mahu lepaskan kerana ia merupakan sukan yang paling popular di Thailand dan kami mahu terus maju dalam sukan ini,” katanya.

“Malaysia sebuah pasukan yang kuat. Mereka menyerang dengan bagus. Bermain di halaman sendiri di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri merupakan satu kelebihan dan memberikan semangat tambahan kepada mereka. Ramai juga memilih Malaysia sebagai pasukan pilihan kerana mereka menewaskan Indonesia 1-0 sedangkan kami hanya mampu seri 1-1 dengan Indonesia ”

Sementara itu, jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee meminta pemain fokus dan bermain sepenuh hati.

“Memang saya akui permainan Malaysia ketika berdepan Indonesia agak menurun dan kita tidak mempamerkan permainan sebenar. Tapi adalah lebih mustahak untuk kita mendapat keputusan,” katanya yang bakal membimbing pasukan di final kedua selepas muncul juara pada 2011 di Jakarta.

Kim Swee, 46, menegaskan tiada pasukan pilihan dalam perlawanan akhir dan beliau mahu anak buahnya menyerap semangat kemerdekaan negara yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

“Di atas kertas saya akui Thailand pasukan yang baik tapi pada final, tiada pasukan pilihan, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang. Kita bermain di tempat sendiri sudah pasti kita mahu menamatkan perlawanan dengan kegembiraan,” katanya.