Santai Piala Dunia 2018

Senarai lapan kemenangan yang paling mengejutkan dalam sejarah Piala Dunia

Piala Dunia sering disifatkan sebagai kejohanan bola sepak terbesar di dunia.

Kejohanan ini bukan sekadar menawarkan perlawanan yang menarik tetapi turut menjanjikan pelbagai kejutan. Sebelum bermulanya Piala Dunia 2018, kita boleh lihat senarai lapan perlawanan yang mengejutkan banyak pihak:

Arab Saudi vs Belgium (Piala Dunia 1994)

Arab Saudi yang menjadi pendatang baru di Piala Dunia secara mengejut telah menundukkan Belgium dan layak ke pusingan kedua. Selain menjadi salah satu gol terbaik di kejohanan, gol kemenangan Saeed Al-Owairan juga menggemparkan seluruh dunia.

Korea Selatan vs Itali (Piala Dunia 2002)

Satu kemenangan yang mengejutkan dan juga penuh kontroversi. Korea menewaskan Itali 2-1 menerusi jaringan emas. Keputusan-keputusan yang dilakukan oleh pengadil, Byron Moreno, dilihat jelas memberi kelebihan buat tuan rumah.

Korea Selatan vs Sepanyol (Piala Dunia 2002)

Selepas mengatasi Itali, Korea terus mencipta kejutan apabila menundukkan Sepanyol di suku akhir. Menang menerusi penentuan sepakan penalty, skuad dengan jolokan Teaguk Warriors ini menajdi pasukan Asia pertama yang melangkah ke separuh akhir Piala Dunia.

Senegal vs Perancis (Piala Dunia 2002)

Dalam penampilan pertama di Piala Dunia, Senegal mencipta gempar apabila menewaskan Perancis selaku juara bertahan 1-0 dalam perlawanan pertama. Jaringan Papa Bouba Diop itu jelas menjadi mimpi buruk Les Bleus di Piala Dunia 2002.

Afrika Selatan vs Perancis (Piala Dunia 2010)

Beraksi di depan penyokong sendiri, Afrika Selatan meraih kemenangan mengejut 2-1 ke atas Perancis sehingga membuatkan Les Bleus tersingkir daripada Piala Dunia 2010. Kejohanan edisi itu menjadi antara penampilan terburuk Perancis di Piala Dunia.

Switzerland vs Sepanyol (Piala Dunia 2010)

Sepanyol menjadi juara edisi 2010, namun mereka memulakan saingan ketika itu dengan kekalahan. Dalam perlawanan pertama buat La Roja, mereka memberikan kemenangan pertama buat Switzerland di pentas itu sejak 1954.

Cameroon vs Argentina (Piala Dunia 1990)

Pasukan dari Afrikat sememangnya sering melakukan kejutan. Walaupun bermain dengan Sembilan orang akibat kad merah, Cameroon masih mampu menundukkan juara bertahan ketika itu, Argentina. Jaringan daripada Francois Omam-Biyik sudah cukup untuk mengatasi Diego Armando Maradona dan rakan-rakannya.

Jerman vs Brazil (Piala Dunia 2014)

https://www.youtube.com/watch?v=-sfRVyDHT30

Salah satu detik yang tidak akan dilupakan di Piala Dunia 2014. Tiada yang menyangka bahawa Brazil akan menjadi mangsa belasahan kepada Jerman di separuh akhir. Tangisan penyokong tuan rumah dilihat merata-rata apabila Der Panzer membelasah pasukan negara mereka 7-1.