Malaysia Liga Super Malaysia

Raul Longhi: JDT belum lagi juara liga, pemain import baru masih agak kekok

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi tidak mahu pemain terlalu memikirkan yang mereka sudah pun menjadi juara liga sebaliknya perlu fokus dan berusaha meraih kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

Katanya, walaupun JDT selesa sebagai pendahulu liga dengan jarak lapan mata berbanding Perak di tempat kedua, pasukan Harimau Selatan itu sebenarnya masih belum selamat dan persaingan liga akan menjadi semakin sukar dan sengit.

Malah katanya, aksi menentang PKNS FC Ahad ini pasti lebih sukar dan akan memaksimumkan latihan dua hari yang ada bagi memperbaiki kelemahan pasukan ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-0 baru-baru ini.

“Saya enggan bercakap tentang beza lapan mata dan kekal di tangga teratas kerana ini akan memberi kesan negatif kepada pasukan, kita masih belum selamat dan perlu mengharungi satu demi satu perlawanan untuk buru kemenangan,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas mengenai pemain import baharu JDT, Jorge Silva dan Harry Novillo yang dilihat kurang menyerlah, Longhi mempertahankan kedua-dua pemain itu kerana mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak di negara ini.

“Mereka baru bersama JDT dua minggu sebelum aksi menentang Selangor dan hanya bermain dua perlawanan, sudah tentu agak kekok dengan corak permainan bola sepak Malaysia.

“Saya percaya mereka akan serasi dengan gaya bola sepak Malaysia dan apa yang penting mereka sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT dan falsafah pasukan itu bagi kempen Liga Super musim ini,” katanya.