Malaysia Liga Super Malaysia

Pemain muda Kelantan ini dedah cabaran bermain di bulan Ramadan

Satu ketika dahulu, liga bola sepak di Malaysia tidak akan dilangsungkan pada bulan Ramadan bagi menghormati umat Islam yang sedang menjalani ibadah tersebut.

Namun kepadatan jadual liga serta melihat keadaan liga-liga di negara Arab yang tetap bermain bola walaupun pada bulan puasa menjadi pendorong buat Malaysia untuk melakukan perkara yang sama.

Malah bagi pemain tengah pasukan Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, beliau dan kebanyakan rakan pasukannya sendiri pertama kali bermain dalam perlawanan kompetitif ketika bulan puasa, namun beliau yakin mampu memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan menentang Kuala Lumpur esok.

Katanya, keyakinan tersebut dibantu dengan kehadiran pemain import baharu di bahagian pertahanan dari Tunisia iaitu Alaeddine Bouslimi.

“Kami mahu mengulangi kemenangan 4-2 ke atas pasukan Kuala Lumpur di Kota Bharu dua minggu lepas, rata-rata pemain berjaya meningkatkan prestasi permainan masing-masing.

“Sekarang pasukan Kelantan mempunyai pemain import baharu, Alaeddine Bouslimi yang akan berganding dengan Cassio bagi mengekang asakan daripada pihak lawan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Nik Akif Syahiran turut mendedahkan persiapan untuk perlawanan tersebut sedikit meletihkan berbanding persediaan di luar bulan Ramadan.

“Pemakanan dan rehat tidak seperti biasa, kami kena jaga makan ketika berbuka puasa bagi mengelak menghadapi masalah ketika latihan yang bermula pada 10 malam,” katanya.

Malah penjaga gol Kelantan, Fikri Che Soh yang juga beraksi buat kali pertama pada bulan puasa, berharap rakan sepasukannya dapat mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan tersebut.