Malaysia Liga Super Malaysia

Bergelut dengan prestasi, Ilham belum mahu mengalah

Pemain import Selangor, Ilham Udin masih belum mahu mengalah meskipun prestasi pemain dari Indonesia itu setakat ini mengundang kritikan segelintir penyokong sendiri.

Katanya, beliau hanya fokus untuk membantu pasukannya memperbaiki kedudukan dalam Liga Super ketika ini.

Malah Ilham percaya, mereka mampu untuk memperbaiki kedudukan liga meskipun mengharungi lima perlawanan mencabar sepanjang Ramadan ini.

“Saya tidak ada tekanan, mungkin belum ada rezeki untuk saya. Ini risiko saya sebagai pemain import, harus terima sebarang tekanan dengan baik dan saya masih bersemangat untuk bersama Selangor.

“Pemain kena berusaha keras lagi dan mudah-mudahan akan diberi rezeki untuk Selangor berada di posisi lebih baik,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini pemain berusia 22 tahun itu menyarung jersi Red Giants pada awal musim ini bersama-sama dengan rakan senegaranya Ivan Dimas sekali gus meletakkan harapan yang tinggi kepada penyokong-penyokong Selangor.

Namun sejak kebelakangan ini ada yang melihat permainan pemain sayap itu agak sederhana kerana masih tidak menjaringkan sebarang gol selepas 10 perlawanan liga sehingga mengundang spekulasi sama ada beliau akan digugurkan pada jendela perpindahan kedua pemain bulan ini.

Rabu ini Selangor akan menentang PKNP FC yang ketika ini berada pada tiga mata di hadapan Red Giants dan diharap dapat mencipta kemenangan selepas sekadar seri 1-1 pada pertemuan pusingan pertama dalam liga sebelum ini.