Liga Super Malaysia Berita

Bung Moktar umum muka-muka baharu pengurusan Sabah

Pemangku Presiden Sabah FA, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan beberapa pelantikan baharu dalam pengurusan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Antaranya pelantikan Benedict Asmat sebagai setiausaha agung dan ADUN Pantai Dalit, Jasnih Daya sebagai bendahari bagi menggantikan Rafie Robert dan Joehari Ayub.

Bagaimanapun, Rafie dan Joehari akan dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Sabah FA.

Manakala, bekas pemain bola sepak Sabah, Azman Mastar dilantik sebagai penolong setiausaha agung.

“Ini merupakan sebahagian langkah segera diambil dalam usaha menstrukturkan semula pentadbiran badan bola sepak ini,” katanya kepada Bernama.

“Pendekatan lain kita sedang pertimbangkan, bagi membolehkan langkah lebih proaktif ke arah kemajuan sukan bola sepak Sabah.”

Bung juga sedang sibuk mengaturkan skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang meliputi penyusunan pengurusan, pemilihan jurulatih dan pemain-pemain.

“Kami akan melakukannya dengan teliti dan seboleh-bolehnya secepat mungkin, supaya pasukan terbabit dapat melakukan persiapan rapi untuk bertanding.”

Piala Presiden dan Piala Belia bagi musim 2021 dijadualkan berlangsung pada Jun tahun depan.

Bung juga mendedahkan bahawa penstrukturan semula Sabah FA akan turut diperluaskan di peringkat daerah dan berharap usaha itu mampu membawa perubahan kepada sukan bola sepak Sabah secara keseluruhannya.