Liga Super Malaysia Berita

Pemain JDT kuasai senarai pencalonan ABK2020

JDT dilihat menguasai senarai pencalonan bagi lima kategori utama Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK2020), yang akan diadakan secara maya pada 30 Disember ini.

Terdapat 10 pemain JDT tercalon dalam pelbagai kategori termasuk Benjamin Mora tercalon dalam kategori Jurulatih Terbaik.

Farizal Marlias tercalon dalam kategori Penjaga Gol Terbaik diikuti tiga pemain pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak, La’Vere Corbin-Ong dan Matthew Davies yang tercalon dalam kategori Pemain Pertahanan Terbaik.

Empat pemain tengah JDT, Afiq Fazail, Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez dan Safawi Rasid tercalon dalam kategori Pemain Tengah Terbaik.

Dua penyerang JDT, Diogo Luis Santo dan Ramadhan Saifullah Usman pula tercalon untuk kategori Penyerang Terbaik.

Seramai 50 calon melibatkan 40 pemain dan 10 jurulatih Liga Malaysia bakal bersaing bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Mereka adalah 334 daripada jumlah keseluruhan 567 orang pemain, yang memenuhi kriteria beraksi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2020, selain pemain muda yang berdaftar dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia, yang disenarai pendek oleh Jawatankuasa Saringan ABK20.

Keputusan pemenang bagi lima kategori utama berkenaan, akan diputuskan juri profesional terdiri daripada 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media yang menyumbang 70 peratus kepada kiraan mata.

Baki 30 peratus kiraan mata akan diputuskan penyokong, menerusi undian di platform Elfo yang dipaparkan di semua laman media sosial rasmi MFL di Facebook, Instagram dan Twitter bermula 10 pagi esok (21 Dis), sehingga 11.59 malam 25 Dis.

ABK2020 akan turut menyampaikan Anugerah Kasut Emas 2020 dan Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super kepada pemain import Selangor, Ifedayo Olusegun Omosuyi dari Nigeria, yang meledak 12 gol musim ini.

Penyerang kebangsaan Shahrel Fikri Md Fauzi, pula bakal menerima Anugerah Penjaring Terbanyak (Tempatan), selepas menjaringkan 10 gol bersama Perak dalam saingan Liga Super, manakala penyerang Pulau Pinang Casagrande dari Brazil, akan menerima Anugerah Kasut Emas Liga Premier selepas menghasilkan 9 gol pada musim ini.

Penyerang muda Selangor II, Ahmad Danial Ahmad Asri bakal dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak (Tempatan) Liga Premier 2020 selepas menghasilkan 7 gol.

Namun ada beberapa kategori yang tidak dipertandingkan pada ABK2020 melibatkan Pemain Muda Harapan, Pemain Import Terbaik, Pemain ASEAN Terbaik, Penyokong Terbaik, Fan XI, Pemain Paling Popular, Laman Web Terbaik dan Media Sosial Terbaik.

Anugerah lain yang tidak dipertandingkan adalah Anugerah Mesra Media, Anugerah Komuniti, Anugerah Persahabatan, Pemain dan Pasukan Terbaik Liga M3, Pengadil Berpotensi dan Anugerah Fair Play.

Senarai penuh calon lima kategori utama ABK 2020:

Penjaga Gol Terbaik:

Farizal Marlias (JDT)
Mohd Iqbal Suhaimi (Kuching FA)
Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Petaling Jaya City FC),
Khairul Fahmi Che Mat (Melaka)
Khairulazhan Khalid (Selangor)
Remezey Che Ros (UKM FC)
Samuel Somerville (Pulau Pinang)
Sharbinee Allawee Ramli (Pahang)
Suhaimi Husin (Terengganu FC II)
Zamir Selamat (Kuala Lumpur)

Pemain Pertahanan Terbaik:

Aidil Zafuan Abd. Radzak
La’Vere Corbin Ong
Matthew Davies
Azmi Muslim (Pulau Pinang)
Rafiuddin Roddin (Perak)
Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan)
Shahrul Mohd Saad (Perak)
Shakir Hamzah (Kedah)
Victor Nirennold (UiTM FC)
Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (Melaka)

Pemain Tengah Terbaik:

Afiq Fazail
Gonzalo Cabrera
Leandro Velazquez
Safawi Rasid (JDT)
Brendan Gan (Selangor)
Faisal Abdul Halim
Nor Azam Abdul Azih (Pahang)
Leandro dos Santos (Perak)
Lee Tuck (Terengganu FC)
Syahmi Safari (Selangor).

Penyerang Terbaik:

Casagrande (Pulau Pinang)
Diogo Luis Santo
Ramadhan Saifullah Usman (JDT)
Dominique da Sylva (Terengganu FC)
Engku Nur Shakir Engku Yacob (Terengganu FC II)
Fernando Rodriguez (JDT II)
Francis Kone (Kuala Lumpur)
Ifedayo Omosuyi Olusegun (Selangor)
Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak)
Tchetche Kipre (Kedah)

Jurulatih Terbaik:

Aidil Sharin Sahak (Kedah)
Akira Higashiyama (Kuching FA)
Benjamin Mora (JDT)
Frank Bernhardt (UiTM FC)
Manzoor Azwira Abd Wahid (Pulau Pinang)
Mehmet Durakovic (Perak)
Michael Feichtenbeiner (Selangor)
Nafuzi Zain (Terengganu FC)
Muhd Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur)
Yusri Che Lah (Kelantan)