Malaysia Liga Super Malaysia

Gabi Guerra hampir pasti pulang beraksi di Malaysia?

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan kelabnya telah menghubungi bekas pemain importnya, Gabriel Guerra untuk kembali beraksi di Liga Super pada baki saingan musim ini.

Pemain yang berasal dari Argentina itu kini bersama dengan kelab asalnya, Boca Juniors.

Katanya, walaupun berisiko, Mahfizul menganggap PKNS memerlukan pemain yang boleh melonjakkan lagi kedudukan pasukan dan Guerra mempunyai kualiti tersebut sebagai seorang pemain yang cukup berbisa di barisan serangan.

“Untuk jendela perpindahan kedua ini, kami melihat beberapa pemain untuk memantapkan pasukan dan salah satunya adalah memperkuatkan pasukan dengan melihat kepada pemain yang mampu memberi kesan kepada PKNS.

“Salah satunya adalah Guerra. Pilihan yang ada sekarang adalah disebabkan Guerra sudah memahami budaya bola sepak di Malaysia, membuatkan kemungkinan berisiko itu agak kecil,” katanya kepada Stadium Astro.

Guerra mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan ketika bersama PKNS pada musim 2016 apabila membantu kelab itu muncul naib juara Liga Perdana dan Piala FA sebelum bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) musim lalu dan membantu pasukan Harimau Selatan itu muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia.

Ketika ini PKNS mempunyai lima pemain import iaitu bekas pertahanan Kedah, Zac Anderson; pemain tengah kelahiran Argentina, Jonathan Acosta; pemain muda Colombia berusia 19 tahun, Romel Morales serta penjaring terbanyak Liga Singapura, Rafael Ramazotti dan tidak ketinggalan pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli.