Malaysia Liga Super Malaysia

Kuantan FA diarah bayar sehingga RM1 juta oleh FAM

Walaupun baru sahaja memasuki pertengahan saingan liga, terdapat beberapa pasukan yang sudah berhadapan dengan masalah kewangan sehingga tidak dapat membayar gaji pemain yang sudah bersungguh-sungguh mempamerkan aksi terbaik mereka.

Saban tahun mesti ada pasukan yang mempunyai masalah kewangan dan terbaru Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan dua pasukan iaitu Kuantan FA dan Perlis menjelaskan tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak kepada pemain masing-masing, semuanya sekali jika dikira berjumlah lebih RM1 juta.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status, Md. Dali Wahid berkata, mesyuarat Isnin lalu menuntut Kuantan FA membayar tunggakan gaji seperti jumlah yang dinyatakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan tersebut.

Ketika ini, Kuantan FA menanggung tunggakan gaji pemain paling tinggi apabila pasukan itu diarahkan menjelaskan hutang sebanyak RM763,062 kepada 24 bekas pemainnya.

“Jika Kuantan FA gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Sebelum ini, Kuantan FA berdepan dengan masalah tunggakan gaji sejak awal tahun ini hingga menyebabkan pemain mereka memboikot perlawanan menentang PDRM di Stadium Shah Alam, 15 April lalu.

Tindakan itu menyebabkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyingkirkan Kuantan FA daripada saingan Liga Perdana musim ini.

Malah, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) turut berdepan masalah sama apabila diminta menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM182,000 yang dituntut 22 pemain mereka.

“Tuntutan pengadu diterima sepenuhnya kecuali tuntutan daripada Mohd Riduwan Maon dan Muhammad Alif Jamaluddin yang diterima sebahagiannya.

“Persatuan Bolasepak Perlis dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti jumlah dinyatakan di bawah dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini,” tambah Dali.

Sementara itu, Kelab Bolasepak Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers) pula dikehendaki membayar pampasan baki kontrak sebanyak RM120,000 kepada bekas pemainnya, Abdullah Yusoff.

Tuntutan itu dibuat Abdullah selepas berlaku penamatan kontrak secara sebelah pihak dan kes berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib jika pasukan gagal menjelaskan pampasan dalam tempoh yang ditetapkan.