Malaysia Liga Super Malaysia

Ketibaan Nik Shahrul bakal mencetus kebangkitan PKNS FC?

Seorang lagi pemain Kelantan meninggalkan pasukan.

Selepa Khairul Fahmi Che Mat meninggalkan The Red Warriors untuk ke Melaka United, kali ini giliran pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim pula meninggalkan pasukan kesayangannya.

Nik Shahrul Azim yang menggalas peranan sebagai ketua pasukan Kelantan sebelum ini sah menyertai PKNS FC semalam.

PKNS FC yang dikendalikan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal nampaknya benar-benar serius mahu mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Dengan kehadiran pemain yang terkenal dengan jolokan Pok Nik ini, nampaknya barisan pertahanan PKNS akan menjadi lebih kuat. Nik Shahrul boleh menggunakan semua pengalamannya ketika beraksi bersama Kelantan untuk membentuk gandingan mantap bersama Rodney Calvin atau Zac Anderson di barisan pertahanan.

Tetapi, kehilangan Nik Shahrul pastinya dirasai oleh Kelantan kerana dia antara pemain berpengalaman yang mampu memberi tunjuk ajar kepada skuad muda Fajr Ibrahim. Pencapaian terbaik Nik Shahrul Azim bersama Kelantan pastinya ketika menjadi sebahagian daripada skuad pasukan treble Kelantan pada tahun 2012.

Adakah kehadiran Nik Shahrul ini akan membantu PKNS bersaing dengan JDT, Pahang dan Perak untuk kejuaraan Liga Super tahun ini? Atau mungkin sekurang-kurangnya membawa mereka ke perlawanan akhir Piala FA? Sama-sama kita nantikan.