Malaysia Liga Super Malaysia

Menjelang pertembungan PKNP, penyokong Red Giants diberi berita baik

Penyokong Selangor akhirnya menerima khabar gembira apabila Syahmi Safari sudah boleh beraksi dalam perlawanan Liga Super selepas berehat hampir dua bulan akibat kecederaan.

Sebelum ini, Syahmi mengalami kecederaan ligamen koyak dalam lutut atau MCL dalam aksi Piala FA menentang Kuala Lumpur, awal bulan lalu.

Disebabkan itu, pemain berusia 20 tahun itu terlepas enam perlawanan, termasuk aksi terakhir membabitkan Selangor dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), minggu yang lalu.

Namun kini, beliau sudah cukup bersemangat dan sudah kembali menyertai latihan penuh bersama pasukan Selangor minggu ini untuk diturunkan bertemu PKNP, Rabu ini.

“Saya sudah cergas 100 peratus. Oleh kerana agak lama tidak beraksi, saya berasa cukup bersemangat untuk beraksi,” katanya kepada Stadium Astro.

Namun, beliau mengakui masih perlu bersaing dengan pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama setelah beberapa pemain muda lain turut mempamerkan aksi cemerlang.

“Semua pemain dapat menyesuaikan diri. Ini satu perkembangan yang baik untuk membantu pasukan,” katanya.

Kehilangan Syahmi sebelum ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada Selangor yang telah mengharungi tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Malah, kedudukan Selangor dalam liga juga tidak memuaskan apabila sekadar menduduki tempat kelapan setelah mengumpulkan 11 mata, hanya satu mata kelebihan dengan Kuala Lumpur, jauh beza dengan PKNS FC yang menduduki tangga keempat dengan 17 mata dan JDT selaku pendahulu liga dengan 25 mata.