Piala Dunia 2018 Luar Negara

Sebelas pemain terbaik Perancis yang tidak akan beraksi di pentas Piala Dunia 2018

Senarai 23 pemain sudah diumumkan oleh Didier Deschamps untuk membawa pasukannya ke Piala Dunia 2018 di Russia sambil terpaksa meninggalkan beberapa yang turut memiliki kualiti yang hebat.

Berikut adalah senarai 11 orang pemain yang tidak disenaraikan oleh Deschamps:

Anthony Martial

Kemasukan Alexis Sanchez ke Manchester United telah membuatkan kedudukan Anthony Martial terancam. Namun apabila diberi peluang beraksi, Martial tetap menjadi pemain yang sering mengucar-kacirkan benteng lawan serta sering menjadi penentu kemenangan United dalam beberapa aksi Liga Perdana Inggeris.

Alexandre Lacazette

Melalui musim suram bersama Arsenal tetapi Alexandre Lacazette dilihat semakin baik menjelang akhir musim kerana sudah mula menemui keyakinan diri. Dia masih mampu mencipta dua angka jaringan pada musim ini tetapi Deschamps dilihat lebih mempercayai Olivier Giroud.

Geoffrey Kondogbia

Berpindah ke Valencia menerusi tiket pinjaman merupakan satu keputusan yang tepat buat Kondogbia. Dia melalui musim terbaiknya bersama Los Che pada musim ini sehingga membawa pasukannya menamatkan aksi liga di tangga keempat berbekalkan empat gol dan empat bantuan jaringan.

Dimitri Payet

Sumbangan Payet kepada Marseille pada musim ini begitu besar. Dia membawa pasukannya menamatkan saingan di kedudukan keempat Ligue 1 dan melayakkan diri ke final Liga Europa. Payet mencatat 10 gol serta 24 bantuan jaringan dalam semua kejohanan tetapi terpaksa dilupakan setelah mengalami kecederaan ketika bertemu Atletico Madrid.

Laurent Koscielny

Salah seorang pemain yang terpaksa dikorbankan Deschamps kerana mengalami kecederaan sewaktu menentang Atletico Madrid di separuh akhir Liga Europa. Permainannya bersama Arsenal pada musim ini agak kurang memuaskan tetapi pengalamannya sebagai bek tengah masih diperlukan Perancis yang dibarisi oleh benteng muda.

Kingsley Coman

Pada usia yang masih muda, Coman sudah menjulang beberapa trofi bersama Bayern Munich. Salah seorang pemain berbakat yang dimiliki Perancis, dia menyumbat tujuh gol dan lapan bantuan gol sebelum dilanda kecederaan sehingga akhir musim ini.

Aymeric Laporte

Bek mahal yang dibeli Manchester City ini menjadi sebahagian daripada skuad Pep Guardiola yang memenangi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. Laporte dilihat sebagai prospek masa depan City berbekalkan kemampuan bertahan dan sesuai dengan corak permainan Guardiola.

Karim Benzema

Nama penyerang yang sudah sekian laman diketepikan daripada skuad Perancis tetapi bukan disebabkan persembahan buruk. Walaupun musim ini bukan musim terbaiknya, Benzema tetap mencatat 11 gol dalam semua kejohanan, termasuk dua gol ketika bertemu Bayern Munich.

Clement Lenglet

Salah seorang benteng muda yang memiliki potensi besar. Bekas produk akademi AS Nancy ini mula mencuri perhatian pada musim ini dan penampilan hebat bersama Sevilla membuatkan banyak pasukan besar Eropah mengintai khidmatnya. Kemampuan Lenglet boleh dibandingkan dengan barisan benteng Perancis yang dibawa Deschamps ke Russia nanti.

Adrien Rabiot

Beraksi dalam pasukan yang dipenuhi bintang, Rabiot masih mampu merebut tempat bersama Paris Saint-Germain apabila beraksi dalam kesebelasan utama sebanyak 26 kali di Ligue 1. Statistiknya sememangnya seperti pemain biasa apabila menyumbat tujuh gol serta tiga bantuan jaringan dalam semua kejohanan tetapi Rabuot tetap menjadi nadi penting di bahagian tengah PSG dan sangat mengejutkan apabila Deschamps tidak menyenaraikannya.

Wissam Ben Yedder

Wissam Ben Yedder menjadi salah seorang tonggak penting Sevilla pada musim ini. Dia menjaringkan 21 gol dan lima bantuan gol dalam semua pertandingan. Ben Yedder juga membawa pasukannya ke final Piala Raja Sepanyol dan menjadi penyebab utama ketika pasukannya menundukkan Manchester United di pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah.